Home Politik Cadang Tun M jadi PM tak logik, dia pun tiada majoriti –...

Cadang Tun M jadi PM tak logik, dia pun tiada majoriti – Jeffrey

Datuk Dr. Jeffrey G. Kitingan

KUALA LUMPUR – Presiden STAR, Jeffrey Kitingan menyifatkan cadangan untuk Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri sementara sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 tidak logik kerana Muhyiddin menerajuinya dengan baik.

“Jika mereka kata Muhyiddin tak mempunyai (sokongan) majoriti ahli Parlimen, apa yang membuatkan mereka fikir Mahathir ada (sokongan majoriti)? Beliau hanya ada lima ahli Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jeffrey juga menolak usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin sebagai membuang masa kerana tiada jaminan siapa saja yang memegang jawatan tertinggi itu selepas ini dapat bertahan lama.

Justeru, beliau menggesa sekutu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhenti berpolitik buat masa ini dan mengukuhkan pentadbiran semasa, bukannya ‘memeras ugut’ Muhyiddin.

Negara, katanya berdepan krisis ekonomi dan kesihatan akibat Covid-19 dan ketidakstabilan politik tidak patut hanya menambah masalah.

Beliau juga memberi amaran kejatuhan kerajaan PN boleh membawa kepada pengisytiharan darurat untuk menghentikan perbalahan politik dan membenarkan negara fokus kepada usaha memerangi Covid-19.

Minggu lalu, beberapa ahli Parlimen, termasuk Mahathir mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin selepa cubaan pada Mei lalu tidak berjaya kerana kekurangan masa di Dewan Rakyat.

Terdahulu, veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah juga mahu membawa usul yang sama manakala Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mendakwa mempunyai majoriti kukuh untuk menubuhkan kerajaan baharu. – MalaysiaGazette