Home Pendapat Hayati semangat bahasa jiwa bangsa

Hayati semangat bahasa jiwa bangsa

Sebahagian penyokong memegang plakad ketika membuat himpunan aman membantah penggunaan bahasa asing dalam urusan rasmi kerajaan di hadapan Masjid Putra, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 29 JUN 2018
KETIKA menurunkan tanda tangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957, Raja-Raja Melayu telah menetapkan tujuh wasiat, salah satu daripadanya menyentuh soal bahasa iaitu, “Kami tetapkan
Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu.” Jadi kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak boleh dipersoalkan lagi dan semua pihak perlu menjaga dan memelihara kedudukan ini. Justeru sempena Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) marilah kita sama-sama bermuhasabah tentang nasib dan masa depan bahasa kebangsaan ini.
Betul kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sudah terpateri kemas dalam undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan di mana bahasa Melayu adalah bahasa rasmi persekutuan yang diterjemahkan melalui Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang memperuntukkan bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan hendaklah digunakan sebagai bahasa rasmi dalam pentadbiran negara. Namun apa yang menyedihkan kita ialah roh dan semangat yang dibawa oleh Perkara 152 serta
Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 ini dilihat tidak dihayati sepenuhnya dan seolah-olah sengaja dilupakan dan tidak dipedulikan oleh segelintir rakyat kita sendiri.
Sewajarnya tidak patut timbul lagi soal bahasa Melayu dipinggirkan ataupun dikesampingkan dalam semua urusan baik yang rasmi mahupun tidak rasmi. Sepatutnya juga tidak perlu timbul isu keperluan untuk memperjuangkan bahasa ini kerana secara hakikinya dan juga secara automatiknya bahasa ini wajib didaulatkan dan dimuliakan oleh semua pihak terutamanya setiap warga negara. Namun adakah perkara itu benar-benar berlaku? Rasanya tidak perlu lagilah kita menuding jari menyalahkan orang politik mahupun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Kesedaran
untuk memartabatkan bahasa kebangsaan perlu berputik dengan sendirinya di jiwa setiap seorang dari kita jika mahu bahasa ini terus mekar dan subur. Persoalannya ke mana hilang semangat bahasa jiwa bangsa?
Kita perlu sedar betapa bahasa kebangsaan ini besar peranannya jika kita mahu memantapkan perpaduan dan keharmonian kaum di negara kita. Realitinya bahasa kebangsaan boleh menjadi jambatan penghubung utama untuk mewujudkankan perpaduan antara kaum yang mutakhir ini mula goyah dan merisaukan. Kita
sewajarnya perlu bersatu dalam satu bahasa supaya komunikasi dan perhubungan antara kaum dapat dipereratkan serta dimantapkan dan seterusnya boleh mengelakkan segala rasa curiga, prejudis dan prasangka buruk sesama kita. Namun
kita khuatir perkara itu tidak berlaku sepenuhnya sekarang.
Ini kerana masyarakat kita sememangnya sudahpun terpisah di antara satu sama lain dengan pelbagai budaya yang diamalkan oleh kaum masing-masing. Budaya ini adalah tradisi dan adat masing-masing yang telah menjadi amalan turun temurun
yang tidak boleh dipadamkan begitu sahaja, maka dalam aspek apa lagi kita boleh bersatu jika bukan melalui bahasa perantaraan yang satu iaitu bahasa Melayu.
Kita perlu terima kenyataan di mana walaupun sudah 63 tahun kita merdeka namun masih terdapat rakyat kita yang tidak fasih berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Ini adalah satu senario yang cukup menyedihkan. Keadaan ini dapat dielakkan jika kita
memberi penekanan yang sewajarnya dalam aspek pemahaman dan pembelajaran bahasa Melayu di peringkat sekolah terutamanya di sekolah jenis kebangsaan yang banyak mengutamakan bahasa ibunda masing-masing.
Realitinya kita perlu berpijak di bumi yang nyata. Melihat senario semasa dalam kalangan masyarakat kita, ternyata pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di Sekolah Tamil dan Cina dilihat masih belum mantap dan mampu membantu anak- anak ini berkomunikasi dan bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu. Akibatnya bahasa rojak terus menjadi amalan harian mereka apatah lagi di rumah mengamalkan bahasa ibunda sendiri. Jika ini dibiarkan berlarutan maka seluruh generasi mereka juga akan terbawa-bawa dengan bahasa rojak tersebut.
Maka besarlah harapan kita agar rakyat kita terutamanya kaum Cina dan India akan memandang serius isu ini dan mengambil kira keperluan untuk memantapkan kemahiran komunikasi dalam bahasa kebangsaan terutamanya dalam kalangan anak-anak mereka. Terimalah hakikat bahawa bahasa Melayu bukan bahasa orang Melayu semata-mata tetapi ianya adalah bahasa kebangsaan miliki kita semua. Maka jadikanlah bahasa Melayu sebagai jambatan perpaduan utama yang merapatkan
silaturrahim antara kaum di negara kita.
Dalam hal ini orang Melayu juga perlu memainkan peranan yang sewajarnya. Misalnya apabila mereka berkomunikasi dengan orang Cina ataupun India maka mereka sepatutnya menggunakan bahasa yang betul dan bukannya bahasa rojak dengan mengikut rentak pertuturan orang Cina atuapun India. Ini banyak berlaku
dalam kalangan masyarakat kita dalam perbualan dan urusan seharian. Perkara ini perlu dihentikan dan dibendung dengan segera kerana ini menunjukkan seolah-olah orang Melayu sendiri menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang tidak betul
ataupun bahasa rojak yang sekali gus merosakkan bahasa kita.
Ringkasnya usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan perlu terus diperkasakan, dimantapkan dan dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa secara tekal dan bukannya mengikut musim. Untuk itu, semua pihak yang terlibat baik pembuat dasar, pelaksana mahupun organisasi dan individu seperti DBP, penjawat awam, pihak korporat, orang Melayu sendiri serta masyarakat secara keseluruhannya perlu berganding bahu agar sama-sama dapat
membantu membiasakan yang betul dan membetulkan yang biasa supaya citra bahasa kebangsaan terus dapat dimartabatkan. Bertindaklah sebelum terlambat atau sebelum nasi menjadi bubur. Jangan sudah kecurian baru mengunci pintu. Kita khuatir jika keadaan ini berleluasa dan andai kita gagal untuk meletakkan bahasa kebangsaan di tempat yang sewajarnya pasti satu hari nanti anak cucu kita hanya dapat membaca dalam buku sejarah bahawa bahasa Melayu pernah menjadi bahasa
kebangsaan Malaysia. Sama-samalah kita bermuhasabah dan renung-renungkan perkara ini demi survival bahasa Melayu yang akan menelusuri kegemilangan bangsa dan negara ini.
Penulis adalah penganalisis isu-isu semasa