![MGF_ICU28](https://staging.malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2020/06/MGF_ICU28-640x427.jpg)
PUTRAJAYA – Semua pesakit Covid-19 yang sudah pulih sepenuh akan dipantau oleh Kementerian Kesihatan untuk mengetahui perkembangan mereka.
Pemantauan itu membabitkan kesan jangka sederhana dan panjang ke atas pesakit yang dibenar discaj dari wad.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit yang mempunyai simptom ringan atau tidak bergejala berkemungkinan mengalami kurang sampingan berbanding pesakit yang berada pada tahap empat dan lima jangkitan Covid-19.
“Kita sedang melihat pada tempoh jangka masa panjang sama ada parut dalam paru-paru itu akan menyebabkan sesak nafas dan sebagainya.
“Ini kita akan lihat pada jangka masa panjang. Kita sedang memantau setakat ini, melihat kepada jangka masa panjang dan sederhana,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di sini, hari ini.
Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sedang menjalankan kajian terhadap antibodi yang dihasilkan dalam tubuh pesakit Covid-19 dan tempoh ia berada dalam badan mereka.
“Apabila kita dijangkiti, antibodi akan terbina. Persoalannya, berapa lama antibodi itu akan kekal dalam badan.
“Laporan awal mendapati selepas lapan minggu antibodi semakin berkurangan,” ujarnya. – MalaysiaGazette