Home Nasional MB Selangor, CEO Air Selangor perlu letak jawatan – PSM

MB Selangor, CEO Air Selangor perlu letak jawatan – PSM

Masalah bekalan air di Selangor ibarat tiada penghujung. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Berikutan kekerapan gangguan bekalan air di Selangor tanpa sebarang penyelesaian, Parti Sosialis Malaysia (PSM) mahu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman meletak jawatan.

Menurut Pengerusi PSM Selangor, V. Selvam dalam satu kenyataan mendakwa kedua-duanya sudah tidak mampu menangani pengurusan air dan perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya dengan krisis melanda.

“Gangguan air sudah semakin kritikal. MB Selangor dan CEO Air Selangor perlu bertanggungjawab penuh dan meletak jawatan.

“Masalah paip pecah di Jalan Bukit Kuda, Klang beberapa hari lepas telah menjejaskan  pengguna di 15 kawasan terutamanya Klang dan Shah Alam. Belum reda perkara itu, masalah pencemaran air di Sungai Selangor berulang kembali semalam.

“Ianya juga telah menjejaskan lebih sejuta pengguna di 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam, Kuala Selangor, Gombak dan Kuala Langat,” katanya sebentar tadi.

Kata Selvam, PSM Selangor sudah berkali-kali mengutarakan pelbagai cadangan antaranya undang-undang serta tindakan tegas perlu segera dilaksanakan selain pemantauan mantap saban kali oleh PBT, Jabatan Alam Sekitar dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

“Kerajaan negeri juga perlu melaksanakan langkah alternatif seperti membuat tadahan air hujan di kawasan perumahan yang dibiayai kerajaan negeri. Ini juga dapat selesaikan masalah keperluan air tempatan dan gangguan bekalan air dapat diminimakan serta tidak jejaskan ramai pengguna.

“Bagi masalah paip pecah, patutnya Selangor laksanakan program penyelengaraan paip secara berkala dan berjadual untuk mengelak ianya berulang. Ingatlah, air itu kemudahan asas maka pastinya tanggungjawab anda untuk menyediakan dana secukupnya untuk krisis ini.

“Masalah paip pecah dan paip air bocor ini menyumbang menyumbang kepada 30 peratus air tidak terhasil yang memburukkan lagi masalah bekalan air di Selangor,” ujarnya.

Dalam pada itu, Selvam turut mencadangkan kepada Air Selangor untuk mengambil langkah-langkah seperti memantau dan meneliti loji rawatan serta bekalan air bagi mengenalpasti masalah seperti paip serta peralatan lama, bocor juga yang memerlukan penggantian, penyelengaraan baik.

“Sediakan juga sistem back up seperti saluran paip alternatif yang hanya digunakan apabila saluran paip utama mengalami masalah.

“Teliti dan kemaskini  SOP pengurusan air semasa krisis yang sedia ada untuk elak masalah di masa hadapan. Teliti juga proses perolehan Air Selangor termasuk pembekal peralatan untuk pastikan bahan adalah berkualiti tinggi,” tegasnya. -MalaysiaGazette