Home Nasional Pekerja sambilan halang bomba padam kebakaran dipenjara 6 bulan

Pekerja sambilan halang bomba padam kebakaran dipenjara 6 bulan

Tertuduh, Kan Hong Kit diapit oleh anggota polis ketika dibawa masuk ke Mahkamah Majistret Kajang hari ini.

KAJANG  – Seorang pekerja sambilan berusia 33 tahun dijatuhkan hukuman penjara enam bulan dan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan menghalang tugas dan mencederakan anggota bomba serta  memandu secara melulu pada 15 Oktober lalu.

Tertuduh, Kan Hong Kit dihadapkan atas dua tuduhan berlainan di hadapan dua majistret berbeza sebelum mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama yang dibaca di hadapan Muhammad Noor Firdaus Rosli, tertuduh pada 15 Oktober lalu sekitar jam 10.40 pagi di tepi Jalan Suakaseh, Bandar Tun Hussein Onn didakwa dengan sengaja menggunakan kekerasan menghalang anggota penjawat awam yang menjalankan kewajipannya sebagai anggota bomba memadamkan api daripada kereta terbakar di atas jalan.

Tertuduh juga didakwa telah menggunakan kekerasan mencederakan mangsa penjawat awam dengan menumbuk lengan kiri mangsa.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau hukuman denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan kedua di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md Sain, tertuduh mengaku bersalah atas kesalahan memandu kenderaan Proton Persona miliknnya secara melulu di lokasi sekitar jam 10.26 pagi yang disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pendakwaan kedua-dua pertuduhan itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairul Iqram Hairuddin manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Peguambela dalam rayuannya memohon mahkamah supaya mengenakan denda minimum memandang ini merupakan kesalahan pertama tertuduh yang masih bujang dan hanya berpekerjaan sambilan.

“Tuan, OKT (Orang kena tuduh) masih belum kahwin dan kerja sambilan sahaja manakala telah mengaku salah di peringkat awal dan dia memohon maaf dan aku janji tidak akan mengulangi perbuatan itu.

“Justeru tertuduh juga pernah direman lima hari oleh polis untuk membantu siasatan kes dan  dan ini kesalahan pertama maka memohon kebijaksanaan tuan untuk mengenakan satu denda yang minima,” katanya.

Bagaimanapun Muhammad Hairul bangun mencadangkan mahkamah supaya menjatuhkan hukuman setimpal terhadap kesalahan yang dilakukan tertuduh.

“Tuan, saya memohon hukuman sentimpal dikenakan memandangkan kejadian berlaku pada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malah, sebagai orang awam sepatutnya memberi kerjasama kepada anggota bomba jalankan tugas. Lagipun semasa kejadian anggota bomba sedang memadam kebakaran kenderaan milik OKT sendiri untuk mengelak letupan lebih besar yang boleh membahayakan awam dan tidak seharusnya mencederakan anggota bomba.

“Maka saya cadangkan hukuan sejawarnya perlu sebagai memberi pengajaran kepada awam supaya tidak cuba memperlekeh tugas penjawat awam khususnya frontliner,” tegasnya.

Majistret Muhammad Firdaus selepas mengambil kira hujah kedua-dua pihak telah menetapkan hukuman penjara sebulan terhadap tertuduh.

Beliau menjatuhkan hukuman itu dengan mengambil kira beberapa faktor iaitu kepentingan awam selain turut mempertimbangkan pengakuan awal kesalahan oleh tertuduh dalam kes tersebut.

“Saya menjatuhkan hukuman ini dengan mengambil kira beberapa faktor iaitu kepentingan awam iaitu diharap ia elak dilakukan oleh orang lain dan hukuman yang dijatuhkan hendaklah bersifat mencegah jenayah.

“Pendapatan (harian) OKT sebanyak RM100 sebagai pengurus acara sambilan juga diambil pertimbangan dalam menjatuhkan hukuman yang juga harus berlunaskan undang-undang.

“Adalah menjadi tugas Mahkamah untuk mengetuai pandangan umum, dalam bentuk hukuman yang dijatuhkan.

“Kamu Kang Hon Kit, 33 didapati bersalah dan dengan ini mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sebulan,” kata beliau.

Manakala Majisret Syahrul Sazly dalam keputusan berbeza pula menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap tertuduh selain denda RM6,000 dan penjara tiga bulan jika gagal bayar serta lesen memandu digantung dua tahun.- MalaysiaGazette