SEPANG – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah menerima 1,001 permohonan rentas negeri sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 14 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman berkata, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 27 permohonan telah ditolak kerana tidak menepati syarat permohonan yang ditetapkan.
“Kita terima banyak permohonan permit rentas negeri daripada orang ramai di daerah KLIA namun 27 daripadanya terpaksa ditolak kerana kebanyakan alasan yang dikemukakan sebagai menyokong permohonan mereka tidak ada justifikasi yang relevan dan logik untuk dibenarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir ke Sekatan Jalan Raya PKPB di Jalan Kuarters KLIA-SIC hari ini.
Imran berkata, seramai tujuh anggota termasuk seorang pegawai ditempatkan bertugas selama 24 jam di sekatan jalan setiap hari memantau pergerakan keluar masuk kenderaan.
Menurutnya, setakat ini pihaknya berpuas hati dengan tahap kerjasama dan pematuhan masyarakat sebanyak 98 peratus terhadap PKPB di bawah kawasan KLIA setakat ini.
“Selain itu, kita juga telah mengeluarkan sebanyak 32 kompaun atas pelbagai kesalahan seperti tidak memakai pelitup muka, abai penjarakan fizikal dan lain-lain.
“Justeru, saya juga mengingatkan agar van atau bas pekerja yang membawa pekerja supaya tidak membawa jumlah penumpang yang melebihi had ditetapkan dengan mengabaikan penjarakan fizikal seperti dinasihatkan kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya lagi.
Imran juga menjelaskan dua pasukan pemantau yang khas telah ditubuhkan bagi memfokuskan beberapa kawasan seperti lapangan terbang, kargo dan sekatan jalan raya.
Dalam pada itu, beliau juga mengesahkan penahanan seorang pekerja KLIA dalam sekatan jalan raya kerana membawa dadah jenis syabu seberat kira-kira 0.2 gram bernilai RM200 pada 15 Oktober lalu.
“Lelaki berusia 34 tahun itu diperiksa kenderaannya selepas wajahnya kelihatan seperti khayal sebelum menemui dadah dalam dashboard kenderaannya,” katanya.
Suspek masih direman untuk membantu siasatan yang dikendalikan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.-MalaysiaGazette