KUALA LUMPUR – “Tidak semuanya kita perlu politikkan. Ini adalah masa pandemik dan kebanyakan pelajar-pelajar kita termasuk yang menghadapi peperiksaan besar terpaksa belajar di rumah.
“Kami tidak berminat untuk berpolitik, untuk kami masa depan para pelajar kita jauh lebih penting, lebih-lebih lagi yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),”
Itu kata Pengarah Projek Kelas Tuisyen Virtual Kejayaan Kejayaan SPM, Mourhrna Reddy tentang program membantu calon SPM menghadapi peperiksaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.
Menurutnya, program tuisyen itu merupakan inisiatif Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Kelab Kita Anak Malaysia (KAM) bersama biro Pendidikan Parti Gerakan yang bermula sejak Julai lepas.
“Ketika ini kita ada sekitar 350 pelajar, hakikatnya kita mampu menerima jumlah lebih ramai lagi kita sudah perluas sehinggalah Sabah dan Sarawak. Kita perlu lebih ramai penyertaan.
“Ini masa pandemik, kebanyakan masa sudah ada arahan penutupan sekolah berikutan penularan Covid-19 yang masuk gelombang ketiga, sememangnya semua ini akan menggangu pembelajaran.
“Belajar secara ‘online’ adalah salah satu pilihan yang ada, kami pula sediakan platform pembelajaran ini secara percuma, tenaga pengajar juga yang berpengalaman.
“Antara empat subjek yang kita fokus ialah Bahasa Melayu, Matematik, Bahasa Inggeris dan Sejarah. Saya amat berharap supaya peluang seperti ini dipergunakan sebaliknya-baiknya.
“Rebutlah peluang ini, jangan ada alasan Covid-19 sebagai sebab mengapa kita tidak dapat markah yang baik, banyak inisiatif dari pelbagai pihak gunakan semuanya dengan bijak,” katanya.
Mourhrna yang juga seorang usahawan dan berlatarbelakang perundangan berkata, kelas tuisyen maya itu diadakan setiap minggu bermula Jumaat sehingga Ahad selain sesi interaksi dengan tenaga pengajar subjek-subjek itu.
“Sejurus selepas mendaftar kelas virtual, pelajar juga diberikan akses ke laman web Kita Anak Malaysia dan platform Google Classroom yang mengandungi bahan-bahan pembelajaran dan klip rakaman pasca kelas virtual.
“Justeru kepada pelajar-pelajar SPM yang berminat untuk menyertai kelas tuisyen ini boleh melayari laman web di www. kitaanakmalaysia.club untuk keterangan lanjut dan pendaftaran,” ujarnya. -MalaysiaGazette