KUALA LUMPUR – Pejabat Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak mengambil tindakan lanjut terhadap Menteri Perladangan Perusahaan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali kerana melanggar kuarantin wajib Covid-19 selepas pulang dari Turki.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Komisioner, Datuk Huzir Mohamed berkata, kertas siasatan lengkap telah dirujuk polis kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Bagaimanapun katanya, Peguam Negara memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) ke atas pemimpin Pas yang mewakili Parlimen Kuala Nerus itu.
Artikel berkaitan: Isu Khairuddin: Biar pihak berkuasa jalankan siasatan – PM
“Kertas siasatan kami sudah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara dan Peguam Negara telah memutuskan arahan untuk kes ini adalah tiada tindakan lanjut kerana dia tidak diserahkan borang 14 B di bawah Seksyen 15 (1) Akta 342 bagi tujuan menjalani perintah kuarantin.
“Berdasarkan keterangan berkenaan, maka AGC memutuskan untuk tidak mengemukakan sebarang pertuduhan memandangkan tiada keterangan kukuh bagi mengasaskan pertuduhan,” katanya pada sidang media khas bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Bukit Aman, hari ini.
Artikel berkaitan: Polis buka kertas siasatan kes Khairuddin langgar kuarantin wajib
AGC kembalikan kertas siasatan Khairuddin ingkar kuarantin kepada Bukit Aman
Polis telah membuka kertas siasatan Mohd Khairuddin selepas gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki, pada 7 Julai lalu.
Sebanyak 27 laporan polis diterima berhubung perkara berkenaan.
Sehingga kini polis telah menjalankan siasatan termasuk mengambil keterangan pemimpin terbabit sebelum merujuk kertas siasatan itu kepada Peguam Negara dan kemudian dikembalikan semula untuk penambahbaikan fakta kes.
Polis sudah melakukan siasatan terhadap Mohd Kharuddin mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Kementerian Kesihatan dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan kementerian itu mengenakan kompaun RM1,000 terhadap Mohd Khairuddin pada 7 Ogos lalu akibat kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342). – MalaysiaGazette
Klu kena kt pihak lawan Undang2 rimba.. Buang je lh atas kepala tu.. X melambangkn apa2