Home Nasional Najib cadang beri tambahan RM1,000 kepada B40, M40 Sabah

Najib cadang beri tambahan RM1,000 kepada B40, M40 Sabah

Najib Razak

KUALA LUMPUR – Seramai 737,797 rakyat Sabah yang berjaya menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) tahun ini wajar mendapat tambahan sebanyak RM1,000 lagi daripada kerajaan.

Datuk Seri Najib Razak berkata, cadangan itu berdasarkan Sabah paling terkesan dalam gelombang ketiga Covid-19 ini kerana lebih 70% kes virus itu di seluruh negara direkodkan di Sabah.

Seluruh Sabah telah diletakkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan ada juga beberapa daerah sudah dilaksanakan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) sejak 3 minggu lalu.

Memandang situasi Covid-19 terkini, besar kemungkinan PKPB dan PKPD akan dilanjutkan lagi dan jika golongan B40 dan M40 ini tidak diberi lebih bantuan, mereka akan terpaksa melanggar PKP yang dilanjutkan untuk keluar bekerja.

Dengan ini, penularan Covid di Sabah tidak akan berhenti dan negara akan terus mencatat jumlah kes Covid-19 yang tinggi.

Bekas Perdana Menteri itu menambah, sektor pelancongan yang merupakan antara sektor utama Sabah sedang hancur dengan sekatan rentas daerah dan larangan untuk kemasukan pelawat dari negeri-negeri lain Malaysia dan negara asing.

Ini kerana ekonomi tempatan banyak bergantung kepada pelancongan.

Oleh itu, kadar kemiskinan dan purata pendapatan bulanan warga Sabah sudah antara paling rendah antara semua negeri.

”Keadaan ini bertambah parah setelah ekonomi Sabah hancur di bawah kerajaan Warisan di mana pertumbuhan ekonomi Sabah jatuh dari paling tinggi (8.2%) bawah BN pada tahun 2017 ke paling rendah antara semua negeri pada tahun 2018 (1.5%) dan 2019 (0.5%) sebelum Covid-19 wujud.

”Kadar kemiskinan Sabah akan meningkat lagi dan jurang antara Sabah dengan negeri-negeri lain akan bertambah besar jika kerajaan tidak memberi bantuan tambahan kepada Sabah pada masa mereka paling memerlukan dan paling terdesak,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Najib berkata, bantuan tambahan RM1,000 setiap penerima BPN Sabah cuma menelan kos RM737 juta dan ini jauh lebih rendah dari cukai jualan petroleum sebanyak RM2.9 bilion yang dibayar kepada Sarawak bulan lepas.

Jika keengganan kerajaan untuk memberi bantuan tambahan kepada penerima BPN Sabah berpunca daripada kebimbangan kadar defisit negara menjadi lebih tinggi, kerajaan perlu ingat bahawa pengiraan kadar defisit adalah berdasarkan jumlah defisit dibahagi dengan saiz Keluaran Dalam Negara Kasar negara.

”Jika rakyat tidak dibantu dan dana tidak disuntik ke dalam ekonomi tempatan yang telah terhenti akibat PKP seluruh negeri, maka ramai perniagaan akan tutup dan pekerja dibuang, sekali gus akan turunkan KDNK negara.

”Bila KDNK negara turun, maka kadar defisit akan naik juga walaupun jumlah defisit tidak bertambah,” ujar beliau.

Menurut Najib, mengurus ekonomi negara tidak sama dengan mengurus sebuah syarikat atau bank.

Banyak faktor-faktor yang bersangkut paut.

Kerajaan sudah pinda undang-undang untuk naikkan had pinjaman kerajaan kepada KDNK dari 55% kepada 65% seperti saranan saya pada bulan April dan kenaikan had ini adalah bersamaan dengan ruang tambahan pinjaman sebanyak RM150 bilion.

”Jika kerajaan PN tidak ingin suruh Petronas tanggung kos RM737 juta ini dalam bentuk cukai jualan petroleum, kerajaan masih mempunyai ruang yang besar untuk meminjam jika tidak mahu jual aset.

”Bayaran tambahan wang tunai RM1,000 (Cash is king yang dibenci Mahathir) terus ke dalam akaun bank penerima BPN yang sudah ada rekod adalah jauh lebih pantas dan efisien berbanding hantaran bantuan bakul makanan yang dirumitkan oleh masalah logistik dan rekod penerima yang tidak lengkap.

”Sebab itu, bayarlah sahaja tambahan RM1,000 untuk semua warga Sabah,” tambahnya sambil menyarankan lanjutkan moratorium pinjaman secara pukal diberikan kepada penduduk Sabah (jika tidak mahu beri kepada seluruh negara) sekurang-kurang selama tiga bulan lagi.

Soal beliau, dalam situasi PKP seluruh negeri yang berlanjutan dan kes Covid-19 yang terus tinggi, bagaimana warga Sabah mampu membayar ansuran pinjaman bulanan?

”Jangan sudah menang PRN, Sabah dilupakan pula,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Setuju sangat..sy baru saja di tamatkan kontrak kerja pada awal bulan september lalu selepas 9 tahun…jadi telah kehilangan sumber pendapatan tetap…sangat2 perlukan bantuan..dlm waktu covid ini apa lagi peluang kerja yg ada boleh di perolehi…

Comments are closed.