KUALA LUMPUR -Affin Bank Berhad (Affin Bank) melancarkan Skim Pembiayaan BizDana-i yang dijamin oleh Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) bernilai RM15 juta, khas untuk golongan start-up.
Golongan start-up boleh memohon mulai 15 Oktober 2020 untuk pembiayaan sehingga RM300,000.00 dengan pembayaran balik sehingga 84 bulan.
Skim pembiayaan BizDana-i bertujuan khusus untuk membantu usahawan baharu yang berpotensi dengan pembiayaan seawal enam bulan beroperasi, tanpa cagaran.
Inisiatif ini akan membantu meningkatkan modal kerja, mengembangkan operasi dan menyokong pertumbuhan perniagaan mereka.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah an Ali, berkata, walaupun terdapat banyak pembiayaan sedia ada, golongan start-up kurang mendapat perhatian kerana dianggap sebagai segmen yang berisiko.
Dengan proses pelegaan risiko yang bersesuaian, Affin Bank akan berusaha untuk menjadi bank pilihan yang menawarkan sumber yang diperlukan untuk mengasuh, membangun dan berkembang secara inklusif untuk segmen ini.
”Golongan PKS memainkan peranan yang penting dalam mendorong pertumbuhan ekonomi negara.
”Selain berperanan meningkatkan pertumbuhan PKS dan segmen start-up, Skim Pembiayaan Jaminan Portofolio Affin Bank akan dapat membantu golongan yang agak terjejas akibat kesan pandemik Covid-19.
”Ini merupakan satu pakej rangsangan bagi mereka yang ingin memulakan dan menghidupkan semula perniagaan kecil mereka,” katanya. – MalaysiaGazette