Home Dunia Hariri kembali jadi PM Lubnan

Hariri kembali jadi PM Lubnan

Saad Hariri. foto Agensi

BEIRUT – Parti politik Lubnan memilih Saad Hariri untuk menjadi Perdana Menteri, setahun setelah beliau mengundurkan diri selepas berdepan dengan tunjuk perasaan anti-pemerintah secara besar-besaran.

Hariri kembali secara dramatik dengan 65 undian anggota Parlimen dari seluruh spektrum politik negara, termasuk Shia Amal Movement , Parti Sosialis Progresif Druze dan Parti Nasionalis Sosialis Syria, yang nampaknya sekular tetapi sangat bersekutu dengan Hezbollah.

Sebanyak 53 undi berkecuali dari kumpulan politik yang berbeza, termasuk Angkatan Lubnan, bekas sekutu Hariri yang telah menggelar diri mereka sebagai pembangkang dan lawan mereka Gerakan Patriotik Bebas (FPM), bekas rakan gabungan dengan Hariri sebelum hubungan bertambah buruk.

Parti Hezbollah yang disokong Iran juga tidak memilih Hariri, walaupun mereka adalah antara penyokong yang paling bersemangat untuk melihat Hariri kembali sejak pengunduran pada 29 Oktober tahun lalu.

Hariri diminta untuk membentuk kerajaan baharu setelah mendapat sokongan majoriti anggota parlimen.

Penunjuk perasaan mula menuntut pembaikan sepenuhnya dalam sistem politik pada Oktober lalu di tengah-tengah krisis ekonomi.

Keadaan Lunban semakin teruk disebabkan pandemik Covid-19 dan letupan besar di Beirut.

Bencana itu didakwa disebabkan kecuaian pemerintah, mendorong pengunduran Hassan Diab.

Mustapha Adib yang dicalonkan menggantikan Diab berhenti bulan lalu setelah gagal memperoleh cokongan untuk membentuk barisan kabinetnya yang tidak berpihak.

Ia memberi tamparan kepada inisiatif Perancis yang menyeru ahli-ahli politik Lubnan melaksanakan reformasi segera dan menangani rasuah sebagai balasan untuk bantuan antarabangsa bernilai berbilion dolar.

Hariri dalam ucapannya berjanji untuk membentuk pemerintah ahli-ahli non-partisan untuk melaksanakan reformasi ekonomi dan politik yang digariskan dalam inisiatif yang diusulkan oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron semasa kunjungannya pada bulan September.

Beliau juga berjanji akan berusaha untuk membina semula Beirut daripada kerosakan dalam letupan pada 4 Ogos lalu, salah satu letupan bukan nuklear terbesar dalam sejarah moden, yang mengorbankan 200 orang, mencederakan lebih dari 6,500 serta memusnahkan sebahagian besar bandar.- MalaysiaGazette