Home Nasional Moratorium: Anwar pertikai kerajaan senyap

Moratorium: Anwar pertikai kerajaan senyap

Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengulangi gesaannya agar kerajaan melanjutkan moratorium pinjaman.

Langkah ini sekurang-kurangnya akan membantu sektor perniagaan dan rakyat dalam menempuh kemelut ini, yang dijangka berpanjangan.

Ketua Pembangkang itu berkata, menurut Retail Group Malaysia (RGM), kira-kira 51,000, iaitu sebanyak 15% dari jumlah keseluruhan industri di Malaysia tidak mampu bertahan lebih dari empat atau lima bulan mendatang.

Walaupun kerajaan mengumumkan bahawa aktiviti ekonomi dibenarkan, namun panduan terkini ternyata akan memberi kesan pada perniagaan, terutamanya kepada mereka yang kini sedang bergelut dalam sektor peruncitan.

Lantaran itu, katanya, kerajaan harus menonjolkan kepimpinan berkualiti dengan melanjutkan moratorium pinjaman untuk tiga bulan lagi.

”Langkah tambahan adalah diperlukan bagi menopang industri kecil dan gaji kepada pekerja sehingga tamat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

“Adalah tidak mengejutkan tatkala kerajaan terus senyap terkait golongan berpendapatan rendah kerana yang lebih diutamakan adalah syarikat-syarikat mega yang dekat dengan pundak kuasa,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam pada itu, Anwar turut mengkritik berhubung prosedur operasi standard (SOP) dan arahan bekerja dari rumah yang diumumkan kerajaan.

Katanya, meskipun negara sudah lapan bulan sejak diumumkan Perintah Kawalan Pergerakan, nampaknya kerajaan masih belum jelas soal strategi dalam menangani kemelut ini dan bagaimana ekonomi perlu dibangunkan semula ekonomi.

”Arahan bekerja dari rumah baru-baru ini ternyata tidak masuk akal apabila ia hanya mengarahkan staf-staf untuk bekerja dari rumah, manakala yang berada di bahagian operasi yang terdiri dari mereka yang berpendapatan rendah dikehendaki untuk bekerja seperti biasa.

”Bagaimana keributan ini dapat membantu aspek kesihatan awam dengan mengorbankan pekerja kolar biru? Perubahan di saat akhir, termasuk arahan yang melibatkan pekerja sektor awam dan sektor yang di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) benar-benar menambah rumit orang ramai dan membazir masa semua.

”Tetapi apa yang disajikan kepada rakyat adalah arahan atau panduan yang bertembung, termasuk amalan antara dua darjat dalam pelaksanaan
hukuman.

”Ini bukan bahan ketawa tatkala melibatkan atau mengesankan kehidupan jutaan rakyat di Lembah Klang,” ujar beliau.

Anwar berkata, rakyat memerlukan kerajaan yang telus dan informatif, terutamanya melibatkan dasar yang jelas dalam mendepani kemelut. – MalaysiaGazette