Home Ekonomi Pemulihan ekonomi dijangka berterusan – Mohd Uzir

Pemulihan ekonomi dijangka berterusan – Mohd Uzir

Mohd Uzir Mahidin

KUALA LUMPUR- Jabatan Statistik menjangka pemulihan ekonomi Malaysia akan berterusan bersandarkan kepada Indeks Pelopor (IP) yang menjadi alat unjuran untuk meramalkan peningkatan atau penurunan ekonomi.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, IP mencatatkan 108.5 mata pada Ogos tahun ini berbanding 100.8 mata pada tempoh sama tahun lalu.

Ini sekali gus mengekalkan pertumbuhan tahunan sebanyak 7.6 peratus.

IP Ogos 2020 jatuh sebanyak -0.5 peratus disebabkan penurunan jumlah pendaftaran syarikat baharu (-0.6 peratus), import sebenar import semi konduktor (-0.4 peratus), dan jumlah unit perumahan yang telah diberi kelulusan (-0.1 peratus).

Jelasnya, meskipun berlaku sedikit penyusutan pada bulan Ogos, kadar pertumbuhan adalah lancar kerana IP sentiasa konsisten mengatasi trend dan bergerak ke atas.

“Ini menunjukkan ekonomi Malaysia dijangka meneruskan trend pemulihan dalam bulan-bulan mendatang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Namun begitu, Mohd. Uzir berkata, risiko buruk kepada pertumbuhan masih kekal disebabkan lonjakan kes-kes baharu Covid-19 kebelakangan ini.- MalaysiaGazette