KUALA LUMPUR – Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menafikan tersenarai dalam barisan Kabinet baharu yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menurut Jazlan, senarai yang membariskan nama-nama menteri baharu itu adalah tidak benar dan hanyalah mainan politik pihak tertentu.
Beliau berkata, dengan keadaan negara berdepan pandemik Covid-19 makin meningkat ketika ini, rombakan Kabinet adalah tidak bersesuaian untuk dilaksanakan.
“Rakyat sedang bergelut dengan kelangsungan hidup, mencari jalan untuk sumber pendapatan, sewajarnya Kerajaan memberi tumpuan terhadap rakyat terlebih dahulu.
“Tambahan pula, menteri-menteri yang bertugas sekarang pun baru beberapa bulan berkhidmat dan lebih baik kita utamakan tangani Covid-19 dulu dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru sahaja mengumumkan gencatan politik demi memberi tumpuan kepada keluh kesah rakyat, kebimbangan rakyat serta kegusaran rakyat berhubung wabak ini, ekonomi negara dan kelangsungan hidup mereka,” kata Ahmad Jazlan.
Ahmad Jazlan berkata, rombakan adalah kuasa autonomi dan kebijaksanaan Perdana Menteri, mereka menyerahkan sepenuhnya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menentukan adakah perlu rombakan dilaksanakan atau wajar untuk Perdana Menteri terus bersama dengan anggota Kabinet sehingga Pilihan Raya ke 15.
“Ini semua adalah seni dalam politik, political wisdom setiap pemimpin adalah kelebihan buat mereka dalam mengurus tadbir dan mengawal parti-parti dalam menentukan hala tuju negara, keutamaan terhadap rakyat adalah perkara yang wajib didahulukan”.
Ahmad Jazlan turut disenarai sebagai Menteri Kabinet dalam senarai yang tular, beliau dinamakan sebagai Menteri di Kementerian Pembangunan Luar Bandar dalam senarai pertama dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan dalam senarai kedua yang tular.
Beliau pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau (Kenaf), Pengerusi Majlis Sukan Negeri Kelantan, Pengerusi Persatuan Bola Sepak Negeri Kelantan dan kini sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Ahmad Jazlan merupakan Ahli Parlimen Machang sejak tahun 2013 sehingga kini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan. – MalaysiaGazette