KUALA LUMPUR – Asia Pacific Investment Bank (APIB) menyarankan Kerajaan Malaysia mengurangkan cukai korporat bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk terus bertahan menempuhi pandemik Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif APIB, Chris Wang berkata, pandemik Covid-19 telah membawa kesan mudarat kepada 900,000 PKS di seluruh negara, terutamanya yang beroperasi dalam sektor pelancongan, pembuatan, katering dan peruncitan.
Menurutnya, perniagaan di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah adalah yang paling terkesan susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat oleh kerajaan baru-baru ini bagi menangani gelombang ketiga pandemik Covid-19
“Malaysia menyaksikan penguncupan aktiviti ekonomi yang telah memberi impak negatif terutamanya kepada PKS,” kata Wang.
Memetik kaji selidik yang dijalankan oleh Persatuan PKS Malaysia, Wang berkata, 51.2% PKS telah mengalami kerugian lebih RM500,000 dalam perniagaan dari Mac hingga September lalu.
Manakala satu lagi kaji selidik yang dilakukan oleh Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) mendapati 25% daripada PKS tempatan berkemungkinan menghadapi kebankrapan jika Perintah Kawalan Pergerakan fasa kedua dilaksanakan.
Wang menambah, pandemik Covid-19 menyebabkan penurunan mendadak ekonomi negara yang menjejaskan perniagaan terutamanya PKS ekoran cabaran kewangan yang meruncing, termasuk kekurangan modal kerja dan aliran tunai.
Oleh itu, beliau mencadangkan agar kerajaan mengurangkan cukai korporat untuk membantu PKS terus bertahan dalam menempuhi saat mencabar ini.
“Kadar cukai korporat Malaysia adalah sebanyak 24%, iaitu lebih tinggi daripada kebanyakan negara jiran ASEAN lainnya termasuk Singapura (17%), Thailand (20%) dan Vietnam (20%).
“Pengurangan cukai korporat bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan PKS, ia juga akan menarik pelaburan asing serta merangsang pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Wang juga mencadangkan supaya Bank Negara Malaysia (BNM) melanjutkan tempoh moratorium pinjaman enam bulan yang telah berakhir pada 30 September.
Inisiatif sedemikian akan meningkatkan aliran tunai PKS dan memberi mereka ruang untuk bertahan dalam menghadapi pandemik ini.
“Program moratorium pinjaman selama enam bulan yang dilaksanakan pada Mac lalu memberi manfaat kepada PKS kerana ia telah meringankan beban mereka. Lanjutan program moratorium adalah cara terbaik untuk terus menyokong perniagaan-perniagaan yang terjejas,” katanya.
Walau bagaimanapun, ujar beliau, PKS juga mestilah memikirkan cara untuk mengubah perniagaan mereka.
“PKS perlu mendigitalisasikan proses perniagaan mereka sejajar dengan perkembangan teknologi semasa yang semakin pesat.
“Pendigitalan adalah satu-satunya cara untuk maju ke hadapan. Mereka boleh menyusun atur pelan dan strategi perniagaan bagi meneroka peluang baharu di samping mengubah model perniagaan,” tambahnya. – MalaysiaGazette