Home Sukan Pele masih sihat sambut ulang tahun ke-80

Pele masih sihat sambut ulang tahun ke-80

Pele masih sihat pada usia 80 tahun.

SAO PAULO – Pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman, Pele menyambut ulang tahunnya yang ke-80 hari ini dalam keadaan fizikal yang masih sihat dan ceria.

Legenda Brazil itu kekal positif dan ketawa walaupun hanya duduk di kediamannya di sini kerana pandemik Covid-19.

Walaupun mengalami beberapa masalah kesihatan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, aura Pele masih lagi terserlah.

“Saya sihat pada hari ulang tahun ini,” katanya dalam perbualan video dengan pemimpin Konfederasi Bola Sepak Brazil.

Pele satu-satunya pemain dalam sejarah yang memenangi tiga Piala Dunia (1958, 1962 dan 1970) dan menjaring 1,281 dalam kariernya.

Bagaimanapun, beberapa program penghormatan sudah dirancang di Brazil dari pameran pencapaiannya di Muzium Bola Sepak Sao Paulo hingga mural yang direka oleh pelukis jalanan terkenal Kobra di Santos – kota semasa Pele memulakan karier profesionalnya ketika berusia 15 tahun pada 1955.

“Terima kasih kepada Brazil dan semua rakyat Brazil. Saya sentiasa gembira memakai jersi ini. Terima kasih atas semua ucapan selamat hari lahir saya,” tulisnya menerusi akaun Instagram, yang disiarkan bersama gambar dia meraikan salah satu dari 1,281 golnya. – MalaysiaGazette