Home Nasional Tiada pengumuman darurat malam ini

Tiada pengumuman darurat malam ini

Peningkatan kes baharu Covid-19 serta kesannya terhadap ekonomi rakyat mendorong kerajaan Perikatan Nasional mahu melaksanakan darurat.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan membuat sebarang pengumuman malam ini.

Beliau yang selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdulaziz, KuantanĀ  kira-kira jam 7.10 malam tadi dikatakan terus kembali ke ibu kota.

Sumber memberitahu, selepas selesai menghadap untuk memberi nasihat tentang keperluan diadakan darurat, terpulang kepada baginda untuk membuat keputusan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan Agong akan memanggil mesyuarat Majlis Raja-Raja sebelum menerima atau menolak cadangan Kabinet supaya darurat diisytiharkan untuk memberi tumpuan kepada usaha membendung pandemik Covid-19.

Katanya, jumlah kes baharu Covid-19 yang naik mendadak mendorong Kabinet dalam mesyuarat khas selama tiga jam pagi tadi mencadangkan supaya darurat diisytiharkan.

Ia bagi membolehkan usaha bersepadu dilaksanakan terutamanya dalam membantu rakyat yang terjejas dari sudut ekonomi.

Cadangan tersebut menerima reaksi negatif dalam kalangan netizen dan tentunya para pemimpin pembangkang yang menyifatkan darurat sebagai tidak perlu. – MalaysiaGazette