HARI ini genaplah 100 hari Al-Fadhil Ustaz Nasrudin Hassan memimpin Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) sebagai Yang Di-Pertua (YDP) sejak dilantik oleh YAB Perdana Menteri pada 16 Julai 2020.
Sebagaimana kelaziman mana-mana organisasi, tempoh 100 hari pertama ini akan dijadikan tempoh masa rujukan untuk melaporkan prestasi segera yang telah dicapai bagi setiap kepimpinan baharu. Tempoh ini akan menjadi tanda aras hala tuju sesebuah organisasi yang dikemudi dan YADIM tidak terkecuali untuk melaporkan perkara tersebut.
Oleh kerana kekangan pergerakan dan perkumpulan, cadangan untuk mengadakan majlis ringkas untuk melaporkan “kad prestasi 100 hari” YDP YADIM terpaksa ditangguhkan. Namun ini telah membuka ruang kepada saya untuk melaporkan pencapaian prestasi tersebut dari perspektif saya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di yayasan ini.
Dalam tempoh 100 hari kepimpinan beliau, Al- Fadhil YDP telah berjaya menanda dua kotak utama bagi sesebuah organisasi yang baharu menerima perubahan kepimpinan iaitu kestabilan dan kejelasan hala tuju.
Kestabilan organisasi yang berjaya diwujudkan oleh Al-Fadhil YDP dapat dilihat daripada keputusan beliau untuk menerima dan meneruskan struktur organisasi YADIM tanpa melakukan rombakan besar-besaran yang biasa dilakukan dalam mana-mana organsasi atau jabatan. Polisi, prosedur dan keputusan yang telah dibuat sebelum ini juga diteruskan atas semangat yang sering diungkapkan iaitu
“ الجمع بين القديم الصالح والجديد النافع”
Menggabungkan di antara perkara lama yang baik dan perkara baharu yang bermanfaat.
Hasil daripada kestabilan ini telah memberikan keyakinan kepada 170 orang kakitangan dan lebih 5000 ejen dakwah YADIM diseluruh negara untuk kekal fokus dengan tugasan masing-masing tanpa memikirkan risiko perubahan struktur dan personel secara drastik.
Kejelasan hala tuju yang dibawa dalam tempoh 100 hari ini dapat diukur dengan beberapa inisiatif utama yang telah dilakukan oleh Al-Fadhil YDP bagi memastikan YADIM tampil dinamik, bertenaga, relevan dan inklusif dalam melaksanakan gerak kerjanya. Tema kerja yang diperkenalkan beliau seperti “ Islam itu Indah”, “Melestarikan Gerakan Dakwah”, “Meroboh Tembok dan Membuka Sempadan” dan “Merakyatkan YADIM” dilihat sangat cocok dengan sisi tumpuan strategik YADIM yang saya dan rakan-rakan pengurusan tertinggi gagaskan pada awal tahun ini iaitu Visibility, Relevancy, Engagement, Collaborative dan Impactful.
Majlis Perjumpaan Pemimpin-Pemimpin NGO Islam bersama YAB Perdana Menteri yang dianjurkan oleh YADIM adalah antara bukti utama dalam tempoh 100 hari ini betapa YDP YADIM komited untuk melibatkan sebanyak boleh NGO-NGO Islam agar bersatu dalam gerakan perdana dakwah yang luas ini dengan YADIM bertindak sebagai penyelaras penyatuan.
Hasil awal pemecahan tembok dan sempadan ini dapat dilihat apabila kluster dalam Majlis Amal Islami Malaysia yang diurusetiakan oleh YADIM sejak 2009 telah bertambah dari 8 kluster kepada 20 kluster tumpuan sebagai melambangkan pertambahan mendadak penyertaan NGO Islam dalam platform YADIM.
Penonjolan ‘Islam itu Indah’ juga antara menjadi tumpuan YDP dalam tempoh ini. Dakwah tidak sekadar ditonjolkan dalam kegiatan-kegiatan yang biasa dilakukan bahkan dijelmakan dalam tema-tema yang dekat dengan rakyat di Malaysia. Pelaksanaan Semarak Dakwah di seluruh Malaysia sempena Bulan Kemerdekaan, juga diadakan dengan penglibatan 7,000 orang peserta dan kumpulan sasaran terdiri daripada golongan belia, gelandangan, OKU, LGBT Hijrah, Orang Asal dan masyarakat sekitar dalam pelbagai program dakwah dan kebajikan.
Edaran lebih 1,000 kuih bulan kepada masyarakat Tiong Hua sempena perayaan Kuih Bulan di sekitar ibu negara termasuk di Jalan Petaling juga menonjolkan keterbukaan yang dibawa oleh YDP dalam misi dakwah YADIM kali ini dan Alhamdulillah ia diterima dengan sangat baik. Pendekatan menerang dan bukan menyerang kepada kumpulan yang agak kritikal kepada YADIM dan Islam sebelum ini juga jelas dipertegaskan dalam kepimpinan kali ini.
Dalam hal ini, YADIM turut telah meneroka ruang untuk bersemuka secara terus dengan pertubuhan Hindu Sanggam Malaysia dan Archbishop Katolik dalam 2 pertemuan berasingan yang membolehkan penjelasan dan penerangan dilakukan oleh YADIM berkaitan isu-isu berbangkit. Ini berjaya untuk menghilangkan api prasangka dan seterusnya membina jambatan perhubungan yang sihat diantara YADIM dan pertubuhan-pertubuhan rakan bukan Islam ini dengan mesej kasih sayang dan kedamaian menjadi terasnya.
Misi merakyatkan YADIM juga berjaya digerakkan dalam tempoh 3 bulan pertama ini. Program hari terbuka YADIM bertujuan untuk menjadikan YADIM ini dirasai kehadirannya oleh setiap lapisan masyarakat sama ada orang perseorangan, NGO, Jabatan Kerajaan dan Syarikat Swasta dengan penganjuran pelbagai bentuk aktiviti telah dianjurkan. Program sulung yang diadakan dalam bentuk karnival rakyat di Negeri Kelantan baru-baru ini telah menarik penyertaan sekitar 2000 pengunjung berdaftar dan insyaAllah jelajah seperti ini akan diadakan setiap 6 bulan bagi membolehkan interaksi langsung antara YADIM dan masyarakat diperkukuhkan.
YDP YADIM turut menegaskan agar program signature YADIM yang sangat dekat dengan rakyat seperti Musaadah Covid 19 (Bantuan Kebajikan), Is’ad Al Usrah ( Pembaikian rumah dan premis) serta Cuci-Cuci Masjid dipergiatkan pelaksanaannya diseluruh negara.
Usaha untuk melestarikan gerakan dakwah oleh YADIM amat memerlukan penglibatan ejen ejen dakwah yang komited dan dinamik. Bagi tujuan tersebut, penjenamaan semula dan pemerkasaan Sukarelawan YADIM telah diberi tumpuan. Dalam tempoh 100 hari ini, seramai 6000 sukarelawan YADIM telah berjaya didaftarkan di seluruh negara dan sasaran 10,000 orang sukarelawan menjelang Disember 2020 dilihat realistik.
Sukarelawan ini akan menjadi tenaga penggerak bagi memastikan usaha dakwah YADIM di lapangan akan berbekas dan berkesinambungan. Begitu juga dengan pewujudan kumpulan pertama seramai 20 orang para pendakwah di kalangan masyarakat Orang Asal yang telah berjaya dilatih oleh YADIM dalam tempoh ini dan sudah mula bergerak di beberapa perkampungan asal mereka juga akan memastikan kelangsungan aktiviti dakwah dalam kalangan masyarakat orang asal. Perkaderan dalam kalangan belia juga diberi perhatian serius oleh YDP. Pelaksanaan Program Dai’ Muda YADIM yang telah disiarkan pusingan akhirnya buat kali pertama secara langsung di TV Al-Hijrah, telah berjaya melahirkan tenaga pendakwah di kalangan belia yang mempunyai kemahiran sebagai tekno Dai dan diberi tauliah oleh pihak berkuasa agama.
Golongan muda yang berbakat inilah yang akan memastikan arena dakwah tidak akan tandus dan terus lestari di Negara ini. YDP turut serius untuk melebarkan capaian dakwah YADIM di setiap negeri yang masih belum mempunyai pejabat operasi. Dalam tempoh ini juga, persetujuan telah diperolehi dari pihak kerajaan negeri Pahang dan Melaka bagi membantu dan membolehkan YADIM membuka pejabat operasinya di negeri-negeri tersebut sebagai tambahan daripada 6 pejabat negeri sedia ada.
Secara angkanya, dalam tempoh 100 kepimpinan Al-Fadhil Ust Nasrudin Hasan pencapaian berikut telah dicapai:
Jumlah Program: 5,495
Jumlah Peserta: 48,343 orang
Jumlah Sukarelawan YADIM: 6,038 orang
Jumlah Rumah/Premis Dibaik pulih: 20 buah
Jumlah Pendakwah Orang Asal: 20 orang
Jumlah MOU yang ditandatangani bersama IPT: 14
Jumlah Perbelanjaan Keseluruhan: RM1,817,075.18 (anggaran)
Secara keseluruhannya, 100 hari pertama YDP YADIM telah membuktikan bahawa usaha yang diketengahkan oleh beliau dalam memperkasakan YADIM berada dalam landasan yang terbaik.
Dokongan dan dorongan yang telah ditunjukkan oleh Yang Berhormat Menteri dan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam setiap program yang dilaksanakan oleh YADIM melambangkan yayasan ini adalah merupakan agensi penting dalam membantu Kerajaan melaksanakan agenda meningkatkan syiar Islam di Malaysia.
Usaha ini bagaimanapun amat menuntut sokongan padu dari segenap lapisan masyarakat tanpa mengira sempadan. Untuk tempoh yang akan datang, YADIM berhasrat untuk melaksanakan program-program yang lebih berimpak tinggi seperti contohnya Bulan Dakwah yang sedang berlangsung kini sehingga penghujung tahun 2020 dengan pelbagai program yang berkaitan dakwah, kebajikan dan pendidikan.
Lebih 2,000 program disasarkan untuk dilaksanakan dan ini menuntut kepada kemapanan kewangan yang tinggi. Bagi tujuan tersebut YADIM akan membangunkan pelan kemapanan kewangannya bagi tempoh jangka masa sederhana dan panjang di bawah tema YADIM Berdikari.
Antara usaha yang akan ditumpukan adalah melalui penubuhan YADIM Mart serta kerjasama komersil dalam bidang media. Ini semua menuntut sokongan dan dokongan padu daripada semua lapisan masyarakat untuk menyumbang dan menyertai serta menghebahkan setiap kegiatan YADIM.
Ini sekaligus akan merancakkan aktiviti dakwah Islamiah di Malaysia dan martabat agama akan dapat dipertingkat serta dipertahankan.
Melestari Gerakan Dakwah
Tuan Kamarul Arief Tuan Soh
Ketua Pegawai Eksekutif Yadim
Lgbt bnyak lagi.. Hudud x buat2 lagi.. Ko dakwah aper…kilang arak x tutp.. kedai judi bersepah…. Hampeh lebai