Home Dunia AS capai rekod jangkitan tertinggi lebih 83,000 sehari

AS capai rekod jangkitan tertinggi lebih 83,000 sehari

Para petugas perubatan menjalanakan ujian saringan ketika kebanyakan negeri di AS dilanda lonjakan kes koronavirus. foto Agensi

NEW YORK – Kes jangkitan koronavirus di Amerika Syarikat (AS) mencapai rekod tertinggi setiap hari ketika negeri-negeri bergelut dengan gelombang jangkitan baharu.

Memetik data dari pihak berkuasa kesihatan negeri tempatan, Covid Tracking Project melaporkan sebanyak 83,010 kes baharu pada hari Jumaat.

Pakar Bedah AS, Jerome Adams memberi amaran bahawa jumlah kemasukan ke hospital semakin meningkat, tetapi kadar kematian menurun kerana perawatan pesakit yang lebih baik.

Syarikat gergasi farmasi, AstraZeneca dan Johnson & Johnsontelah menyambung semula percubaan vaksin setelah mendapat persetujuan pengawal selia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga telah mengeluarkan amaran bahawa negara-negara di Hemisfera Utara berada pada “tahap kritikal”.

“Beberapa bulan lagi akan menjadi sangat sukar dan beberapa negara berada di landasan berbahaya,” kata Ketua Pengarah Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Menurut Covid Tracking Project, hampir 8.5 juta kes koronavirus telah dilaporkan di Amerika sejak wabak itu bermula.

Kenaikan harian pada hari Jumaat melebihi rekod projek pengesanan sebelumnya pada 17 Julai, ketika 76, 842 kes dilaporkan, lebih dari 6,000 kes.

Sepanjang minggu lalu, AS merekodkan 441,541 jangkitan baru – peningkatan tujuh hari terbesar sejak akhir bulan Julai.

Bilangan orang yang telah meninggal dunia akibat koronavirus juga terus meningkat selama enam hari terakhir ini, tetapi masih jauh di bawah puncak lebih daripada 2,000 kematian setiap hari yang dilaporkan pada bulan April. – MalaysiaGazette