KUALA LUMPUR – Mana-mana parti pun yang memerintah negara ketika ini pastinya akan menggunakan darurat dengan alasan Covid-19 kerana kedudukan masing-masing di Dewan Rakyat begitu rapuh.
Dalam keadaan yang cukup goyah ini, mana-mana parti pun tidak mampu melaksanakan mandat rakyat dengan baik dan sempurna kerana berdepan dengan cabaran getir disebabkan majoriti tipis dan kebarangkalian menghadapi undi tidak percaya atau hilang kepercayaan.
Ditambah pula dengan gelombang ketiga Covid-19, yang menyaksikan angka-angka jangkitan masih tinggi.
Oleh itu, pengisytiharan darurat adalah langkah mudah untuk dilaksanakan walaupun cadangan ini menunjukkan kerajaan dalam keadaan terdesak, kata pemerhati politik, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong.
Ini kerana, perkataan darurat itu menimbulkan pelbagai reaksi – menakutkan dan kebebasan terhad selain menimbulkan pelbagai persepsi terhadap kerajaan yang akan menimbulkan kesan lebih buruk.
Ahli akademik ini berkata, keadaan yang berlaku sekarang ini adalah akibat sikap dan perbuatan berpolitik sakan dalam kalangan pemimpin-pemimpin negara.
“Simptom berpolitik sakan ini perlu dihentikan dalam apa juga bentuk. Kalaulah darurat itu dapat menyelesaikannya, terpaksalah kita menghadapinya.
“Jika tidak, segala usaha mengekang wabak Covid-19 dan usaha-usaha memulihkan ekonomi sukar dibuat kerana berdepan dengan tentangan daripada pihak itu dan ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Meskipun begitu, beliau akui cadangan darurat adalah alasan munasabah untuk dilaksanakan jika Kerajaan Perikatan Nasional ikhlas dan jujur membendung wabak Covid dan membela nasib rakyat yang terhimpit.
“Dalam keadaan sokongan tipis kepada Perdana Menteri Perikatan Nasional, takkan kita hendak biarkan pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Ke-15. Pilihan Negeri Sabah sepatutnya memberi banyak pengajaran. Kalau hendak burukkan keadaan, buatlah.
“Rakyat sendiri melihat PRN Sabah menjadi punca lonjakan kes jangkitan Covid-19, takkan kita mahu perkara sama berulang di Semenanjung. Kesannya sungguh dahsyat,” tambahnya.
Kok Seong berkata, pembangkang tidak boleh menyalahkan kerajaan sedia ada yang mencadangkan darurat ini kerana mereka juga rakus untuk mencapai agenda peribadi.
“Bila cadangan gencatan politik tidak berjaya, lebih baik darurat. Jadi tumpuan membendung wabak tidak diganggu oleh ahli-ahli politik yang rakus,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Rakyat faham tp yg banyak bising ni ahli politik prmbangkang ja. Thailand pun umum darurat covid 19. Banyak ja negara luar buat dah.