KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, apa jua tindakan dalam menangani krisis pandemik Covid-19 mestilah memaparkan keupayaan kerajaan untuk bertindak dengan wajar, saintifik dan mengambil kira kepentingan awam.
Katanya, ketika ini Malaysia tidak berada dalam kelumpuhan ekonomi, sistem kesihatan dan keselamatan awam akibat wabak tersebut.
Malah, beliau berkata, Malaysia telah berada dalam fasa pemulihan ekonomi yang terfokus, dirangsang dengan pelbagai stimulus yang selari dengan kepentingan rakyat menerusi sistem kesihatan yang berfungsi dengan baik walaupun tertekan.
”Malaysia berada dalam krisis kesihatan yang tidak pernah ia hadapi dalam sejarah.
”Namun ia bukan suatu krisis kesihatan yang unik kepada Malaysia. Pandemik virus korona adalah wabak global yang juga dihadapi oleh hampir semua negara lain di dunia.
”Yang membezakan ialah skala kebolehjangkitan dan korban dari wabak ini,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga ADUN Rantau berkata, sehingga kini Malaysia masih berada dalam keadaan yang jauh lebih baik dari kebanyakan negara lain.
Malah, katanya, kemampuan sistem kesihatan Malaysia menangani krisis ini adalah teruji dan telah diiktiraf sebagai salah satu negara dengan tindakan terbaik dan wajar dicontohi.
”Rakyat yang terkesan dengan krisis ini terus patuh dengan protokol kesihatan yang diwartakan.
”Malah rakyat Malaysia terus gigih berikhtiar memberdayakan diri mereka dengan pekerjaan dan perniagaan bagi kelangsungan kehidupan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar kerajaan menangani krisis ini dengan fokus, berpelembagaan dan mempergiatkan segala usaha mendidik masyarakat berasaskan sains dan data.
Katanya, pandemik ini hanya akan dapat diatasi dengan pendekatan saintifik, pemulihan ekonomi dan kepatuhan kepada perlembagaan.
“Sesuatu yang membelakangkan sains, menjejaskan ekonomi dan memencilkan peranan perlembagaan akan meletakkan negara dan rakyat Malaysia dalam keadaan yang lebih sulit dan memburukkan lagi keadaan.
”Tanganilah krisis ini dengan mempertahankan perlembagaan, membenarkan demokrasi berfungsi, memperkemaskan respons sistem kesihatan dan keselamatan awam dan mengutamakan kepentingan rakyat biasa dengan tidak menambahkan kesususahan kepada mereka,” katanya. – MalaysiaGazette
Setuju dgn TokMat…
Bakal PM… Beressssss