Home Nasional Keadaan Covid-19 belum ancam keselamatan negara – Suhakam

Keadaan Covid-19 belum ancam keselamatan negara – Suhakam

Suhakam

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bimbang dengan cadangan pengisytiharan darurat oleh kerajaan untuk membendung wabak Covid-19 seperti yang dilaporkan oleh media.

Dalam kenyataan di sini, Suhakam berkata, tindakan ini boleh membawa kepada ketidakstabilan yang berlarutan di negara ini dan di kalangan rakyat terutama pada masa yang sukar sebegini.

Menurutnya, beberapa pengisytiharan darurat sebelum ini iaitu pada tahun 1964; darurat di negeri Sarawak pada tahun 1966 dan1969 serta darurat di negeri Kelantan pada tahun 1977 telah mengakibatkan penangguhan sidang Parlimen, kemerosotan ekonomi dan pencabulan hak asasi rakyat di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat sekiranya baginda berpuas hati terdapat ancaman terhadap keselamatan negara, ekonomi atau ketenteraman awam.

Namun, keadaan kesihatan dan ekonomi semasa di negara ini yang berkaitan dengan Covid-19, tidak menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara.

Oleh itu, kata Suhakam, pengisytiharan darurat yang dicadangkan dengan tujuan untuk membendung Covid-19 adalah tidak mengikut Perlembagaan dan tidak boleh dijustifikasikan terutamanya apabila orang ramai telah mematuhi perintah kawalan pergerakan dan prosedur operasi standard (SOP).

Langkah-langkah terkini yang diambil oleh kerajaan untuk mencegah jangkitan di negara ini dan pematuhan ketat terhadap SOP oleh rakyat adalah mencukupi untuk mengatasi wabak tersebut.

Walaupun Suhakam mengambil maklum bahawa Yang di-Pertuan Agong akan segera berunding dengan Raja-Raja Melayu berhubung cadangan pengisytiharan darurat oleh tetapi suruhanjaya itu menggesa kerajaan untuk menilai semula keperluan tersebut.

Sebaliknya, Suhakam menyeru kerajaan untuk mendukung tugas dan tanggungjawab mereka dalam menghormati kedaulatan undang-undang dan melindungi kebebasan asasi rakyat seperti yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.