Home Nasional Covid-19: Sembilan kluster baharu dikesan

Covid-19: Sembilan kluster baharu dikesan

Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Sebanyak sembilan kluster baharu Covid-19 dilaporkan dikesan hari ini dengan 116 kluster dilaporkan aktif di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, empat kluster dikesan di Sabah iaitu Kluster Titir, Omadal, Bandaran dan Jambul.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kluster Titir dikesan di daerah Keningau dan kes indeks kluster berkenaan (kes ke-20232) dikenalpasti positif Covid-19 hasil saringan kendiri pada 18 Oktober lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Keningau.

Katanya bagi kluster itu, seramai 23 individu telah disaring
dan 12 daripadanya dikesan positif manakala kluster kedua pula Omadal dikesan di daerah Semporna membabitka kes indeks ke-21073 yang dikenalpasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 18 Oktober lalu dan telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin PPR Bubul Ria, Semporna manakala saringan kontak rapat telah mengenal pasti 20 lagi kes positif Covid-19.

Ujar beliau, seramai 188 individu telah disaring dan 21 kes dikesan positif Covid-19 (sembilan kes baharu), selebihnya 167 individu negatif Covid-19.

“Kluster ketiga iaitu Bandaran melibatkan daerah Kota Kinabalu di negeri Sabah dan kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-18471 telah dikesan positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 15 Oktober lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth.

“Saringan kontak rapat telah menunjukkan 11 lagi kes positif Covid-19 diperolehi dan sehingga kini sejumlah 41 individu telah disaring, yang mana 12 kes dikesan positif (5 kes baharu) dan 29 kes lagi dikesan negatif.

“Kluster Jambul dikesan di daerah Sandakan, Sabah melibatkan Kes indeks ke-14932 telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 9 Oktober lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent.

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti tujuh lagi kes dikesan positif virus Covid-19 dan setakat ini sejumlah 30 individu telah disaring dan lapan kes disahkan positif Covid-19 (satu kes baharu); 20 individu negatif dan dua lagi individu masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noor Hisham, kluster baharu kelima adalah Kluster Bayan dikesan di daerah Seberang Perai Utara, Barat Daya dan Timur Laut di negeri Pulau Pinang membabitkan kes indeks ke-22930 telah dikenal pasti positif Covid-19 menerusi hasil ujian saringan individu bergejala pada 21 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang.

Katanya, saringan kontak rapat telah berjaya mengenalpasti lima lagi kes positif Covid-19 dan sehingga kini, sejumlah 216 individu telah dilibatkan dalam ujian saringan Covid-19 yang mana enam daripadanya positif (2 kes baharu) manakala 60 individu negatif dan 150 orang lagi masih menunggu keputusan

“Kluster keenam adalah kluster Mentari yang dikesan di daerah Petaling, Klang dan Gombak di Selangor, daerah Seremban di Negeri Sembilan dan daerah Kepong di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Kes indeksya adalah kes ke-24394 dikenalpasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 22 Oktober lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

“Menerusi ujian saringan kontak rapat berjaya mengenal pasti 16 lagi kes positif Covid-19 dan setakat ini sejumlah 93 individu telah disaring membabitkan kluster tersebut dan 17 kes dikesan positif (5 kes baharu) manakala 10 kes dilaporkan negatif dan 66 individu masih menunggu keputusan,” ujar beliau.

Dr. Noor Hisham berkata, kluster ketujuh adalah kluster Jernih dilaporkan di daerah Seremban di Negeri Sembilan iaitu membabitkan kes indeks ke-24435 hingga kes ke-24438 yang telah dikenalpasti positif Covid-19 menerusi hasil saringan sebelum pulang ke negara asal pada 22 Oktober lalu.

Menurutnya, ujian saringan kontak rapat telah dilaksanakan ke atas mereka dan 11 lagi kes positif dikenalpasti dan seramai 76 individu telah disaring tetapi 15 kes dikesan positif Covid-19 (11 kes baharu) sementara 61 lagi individu masih menunggu keputusan.

Ujar Dr. Noor Hisham, kluster kelapan adalah kluster Seladah dikenalpasti di daerah Kuching, Sarawak yang membabitkan kes indeks ke-24448 telah dikesan positif Covid-19 menerusi hasil saringan individu bergejala pada 22 Oktober yang lalu.

“Mangsa telah dimasukkan ke hospital Umum Sarawak dan saringan kontak rapat telah berjaya mengenalpasti enam lagi kes positif jangkitan Covid-19, setakat ini sejumlah 18 individu telah disaring iaitu tujuh positif (empat kes baharu), empat negatif dan tujuh lagi individu masih menunggu keputusan ujian mereka.

“Kluster baharu kesembilan dan yang terakhir adalah Makekar dikesan di daerah Johor Bahru dan Kulai di negeri Johor, daerah Kemaman dan Dungun, Kuala Terengganu dan Marang di negeri Terengganu serta daerah Klang di negeri Selangor.

“Kes indeks bagi kluster ini adalah kes ke-23800 telah dikenalpasti positif Covid-19 hasil saringan di tempat kerja pada 18 Oktober lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Hulu
Terengganu, Kuala Berang.

“Saringan kontak rapat kes berkenaan berjaya membantu mengenalpasti sembilan lagi kes positif Covid-19 dan setakat ini sejumlah 132 individu telah disaring yang mana 10 kes dikesan positif (8 kes baharu) manakala 106 lagi negatif sementara 16 lagi individu masih menunggu keputusan,” kata Dr. Noor Hisham.-MalasyiaGazette

+ posts