AKHIRNYA segala spekulasi dan teka-teki tentang kemungkinan pengisytiharan darurat
terjawab apabila Istana Negara mngeluarkan kenyataan memakluman Seri Paduka
Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah setelah memperhalusi
permohonan dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu dan melihat situasi yang
sedang dihadapi oleh negara berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri
Paduka mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian di Malaysia.
Kenyataan pihak Istana Negara juga mengesahkan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin ketika menghadap Al-Sultan Abdullah baru-baru ini telah
mempersembahkan permohonan untuk pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan
Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B)
Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak COVID-19 di negara
ini.
Jadi keputusan ini sepatutnya meletak titik noktah kepada keresahan rakyat tentang
isu pengiytiharan darurat, dan apa yang penting sekarang ialah ahli politik perlu
menghentikan dengan segera segala permainan politik dan perebutan kuasa
sebaliknya memberi perhatian dan keutamaan kepada usaha untuk menangani
wabak Covid-19, memulihkan ekonomi dan mensejahterakan kehidupan rakyat.
Ahli politik perlu sedar rakyat sedang marah dengan tingkah laku yang terlalu
mementingkan kuasa dan kedudukan politik berbanding memenuhi keperluan rakyat.
Malah Al-Sultan Abdullah sendiri sudah banyak kali memberi nasihat dan ingatan
kepada ahli politik agar tidak membelakangkan kesejahteraan rakyat dengan
mencetuskan krisis politik secara berterusan. Terkini Al-Sultan Abdullah sekali lagi
mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politiking yang
boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.
Justeru ahli politik perlu akur dan mendengar nasihat Al-Sultan Abdullah sekali gus
segera melakukan gencatan politik. Sedarlah kehidupan rakyat semakin terhimpit
dengan ancaman wabak Covid-19 yang memberi kesan langsung kepada kesihatan,
keselamatan dan kelangsungan hidup rakyat. Peningkatan secara mendadak
bilangan kes sejak mutakhir ini cukup meresahkan anggota masyarakat. Malah
pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri
seperti Selangor dan Sabah semakin merumitkan kehidupan rakyat setempat.
Ini ditambah pula dengan masalah ketidaktentuan prestasi ekonomi negara dan juga
global yang menyebabkan masih ramai yang hilang pekerjaan termasuk graduan
baharu yang begitu sukar untuk memperoleh pekerjaan. Jadi dalam situasi yang
cukup genting umpama antara hidup dan mati ini, janganlah mengheret rakyat ke
krisis politik pula. Jujurnya pada ketika ini majoriti rakyat tidak mahu ambil tahu
tentang politik. Rakyat hanya mahu wabak ini dikawal supaya dapat memutuskan
penularan dan jangkitan virus serta ada inisiatif untuk membangunkan ekonomi
rakyat supaya periuk nasi masing-masing tidak terjejas. Ringkasnya, rakyat sedang
bergelut untuk kelangsungan hidup jadi tiada masa untuk memikirkan survival politik
parti atau ahli politik tertentu.
Maka inilah masa terbaik untuk pihak kerajaan dan pembangkang mengetepikan
segala perbezaan dan persengketaan, lantas membuktikan kepada rakyat mereka
boleh berjiwa besar dan bertindak gentleman dengan bersatu hati dalam soal
memerangi wabak dan memulihkan ekonomi. Ironinya, pada ketika ini kerajaan perlu
terima hakikat mereka memerlukan kerjasama dan sokongan pembangkang, dan
pembangkang juga perlu sedar rakyat mahukan kerjasama semua ahli politik demi
survival kehidupan.
Hakikatnya banyak lagi masa untuk kita berpolitik, jadi pada ketika krisis seperti ini
biarlah kita fokus untuk menangani masalah secara bersama. Sepatutnya pada ketika
ini para pemimpin dan rakyat perlu berganding bahu supaya dapat sama-sama emerangi ancaman wabak. Ingat, kita masih bergelut di medan perang, jauh sekali
untuk isytihar menang!
Justeru buat sekian kalinya kita memohon sangat kepada semua ahli politik agar
dengarlah nasihat dan peringatan Al-Sultan Abdullah. Hormatilah keputusan dan titah
yang telah dizahirkan. Hentikan politiking dan utamakan kehendak rakyat. Raja dan
rakyat berpisah tiada. Daulat Tuanku!
Penulis adalah penganalisis isu-isu semasa
Nasihat adalah nasihat. Sebagai seorang Perdana Menteri , Muhyiddin perlu buat apa yang terbaik difikirkannya. Teruskan apa juga tindakan. Anda adalah Perdana Menteri rakyat. Konsep demokrasi berpalimen dan Raja berpelembagaan bermaksud Raja di nasihati bukan sebaliknya. Kalau dibiarkan kita akan kembali kepada feudalism kerana Raja tidak dipilih oleh rakyat. Malah pada 1948 telah menyerahkan kuasa kepada British.
Apa yang terjadi biar terjadi asalkan rakyat yang diutamakan dan suara rakyat yang diikuti. Itulah demokrasi.
Klu dh x der majority tu resign je lah…nk pertahan kn apa lagi… Jwtn hanya pinjaman