JOHOR BAHRU – Empat orang termasuk seorang wanita warga Indonesia dipercayai anggota kumpulan samun ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Melayu Majidee, di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua pendatang tanpa izin itu berusia antara 25 dan 51 tahun itu ditahan pada jam 7.45 malam susulan kejadian seorang ahli perniagaan warga China disamun di luar sebuah bank di Taman Nusa Bestari, Skudai, enam jam sebelum itu.
Katanya, dalam kejadian itu, mangsa berusia 50 tahun itu mengalami kecederaan di dahi kerana ditetak oleh dua suspek bersenjatakan parang sebelum melarikan wang tunai berjumlah RM242,000 yang baru sahaja dikeluarkan dari sebuah bank di situ.
“Tangkapan terbaru ini adalah saki baki anggota kumpulan penjenayah samun bank warga Indonesia yang telah pun ditangkap awal tahun ini bersama ketuanya. Kami percaya masih ada lagi ahli kumpulan itu yang masih bebas,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Ayob Khan berkata, turut dirampas semasa serbuan itu adalah dua bilah parang, 12 keping nombor pendaftaran palsu kenderaan, tujuh telefon bimbit dan wang tunai RM26,280.
Menurutnya, modus operandi kumpulan itu yang aktif sejak tahun lalu adalah menyasarkan mangsa berpakaian kemas menaiki kereta mewah yang membuat pengeluaran wang di bank.
Katanya, ahli kumpulan itu akan mengekori mangsa dengan menaiki kereta yang disewa dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu sebelum menyamun dengan menggunakan senjata parang.
“Kumpulan ini juga dipercayai akan terus memindahkan hasil kegiatan samun ke akaun bank di Indonesia sebaik menyamun mangsa,” katanya.
Menurutnya, keempat-empat suspek itu direman selama seminggu mulai 23 Oktober lalu untuk disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama 20 tahun. – Bernama