KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian dan kesejahteraan tanpa mengira latar belakang masing-masing perlu mentaati nasihat Yang di-Pertuan Agong yang merupakan kuasa tertinggi negara.
Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md. Jais Sarday berkata, tidak wajar sebarang tindakan menuntut pilihan raya umum ataupun undi tidak percaya di Parlimen diadakan dalam masa terdekat ini.
Beliau berpendapat, kemelut politik ketika ini ialah kebimbangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mendapat sokongan majoriti berikutan tindakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengemukakan usul tidak percaya September lalu.
Katanya, susulan itu tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadap Yang di-Pertuan Agong dan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tidak dapat menghalang Ahli Parlimennya menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH).
Jelas beliau, Muhyidin dilantik sebagai Perdana Menteri setelah disokong Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), selain parti Bersatu dan penyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dari PKR dan ahli politik UMNO yang melompat parti.
“Kalau dilihat secara menyeluruh, komposisi paling besar menyokong Perdana Menteri adalah dari blok UMNO, BN.
“Namun, kedudukan ahli Kabinet yang dilantik tidak menggambarkan kehadiran ‘muka’ UMNO dalam kerajaan kerana hanya seorang Naib Presiden dari kalangan pimpinan tertinggi yang dilantik.
“Penjawat jawatan ini telah dipilih ahli ketika parti tidak menjadi kerajaan. Oleh itu, parti tidak dapat menterjemahkan hasrat dan pandangannya dalam kerajaan, apatah lagi untuk mempertahankan kerajaan, berbanding pimpinan parti lain yang menganggotai kerajaan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Selain itu, kata Md. Jais, peristiwa PRN Sabah yang dikatakan “UMNO/BN telah dibuli” oleh Perikatan Nasional (PN) juga memanaskan lagi kemelut politik, di samping kerjasama ikhlas yang tidak bertulis menyebabkan UMNO tersingkir dari memimpin kerajaan Sabah.
Oleh itu, ujar beliau, kemelut itu tidak boleh dilihat hanya UMNO sahaja seolah menjadi puncanya.
“Keikhlasan UMNO memberikan 11 “kerusi lompat” kepada Bersatu, bukti UMNO sedia bekerjasama dengan PN.
“Saya melihat, tuntutan utama UMNO hanya dua sahaja, pertama, semua bentuk kerjasama UMNO/BN dan Bersatu/PN hendaklah ditulis dengan nyata supaya boleh dijadikan panduan.
“Kedua, melihat semula anggota kabinet supaya kehadiran UMNO itu melambangkan kerjasama yang kuat dalam kerajaan dan bagi saya, kemelut ini hanya boleh diselesaikan oleh Muhyiddin selaku Pengerusi PN,” katanya.
Beliau berkata, Perdana Menteri sewajarnya menunjukkan sikap berjiwa besar di sebalik panggilan manja “abah” yang membawa pengertian seorang bapa yang penyayang.
“Saya yakin dan percaya kepimpinan tertinggi UMNO tidak akan sekali-kali lari dari landasan untuk menyokong kerajaan tanpa DAP,” katanya. – MalaysiaGazette