Home Ekonomi MIER jangka ekonomi Malaysia kuncup 5.5 peratus

MIER jangka ekonomi Malaysia kuncup 5.5 peratus

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) melakukan semakan menurun terhadap unjuran ekonomi negara tahun ini kepada -5.5 peratus berbanding unjuran awal -3.6 peratus.

Dalam kenyataannya hari ini MIER berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku ketiga dan keempat 2020 dijangka positif iaitu sekitar dua hingga 2.5 peratus, yang mana kebanyakannya disumbang oleh keberkesanan pakej rangsangan Prihatin dan Penjana.

“Dengan mengambil kira prospek pertumbuhan, perdagangan dan pelaburan dunia disebabkan pandemik global Covid-19, masih terdapat risiko buruk terhadap unjuran ini kerana negara masih dalam keadaan pandemik.

“Semasa gelombang pertama dulu, usaha untuk melandaikan lengkung mengambil masa enam bulan dan kita juga menjangkakan tempoh yang sekurang-kurangnya sama perlu diambil untuk melandaikan lengkung semasa gelombang ketiga.

“Ini akan melambatkan proses pemulihan pada suku pertama 2021.

“Jadi, dengan melihat kepada penguncupan teruk kadar pertumbuhan KDNK pada suku kedua (-17.4 peratus) manakala kadar pemulihan pula hanya sekitar dua peratus pada suku ketiga ditambah dengan peningkatan kes-kes baharu Covid-19 pada masa sekarang serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kurangnya sokongan kerajaan semasa suku keempat terutamanya kepada perusahaan kecil dan sederhana, maka MIER menyemak turun unjuran KDNK sebenar tahun ini kepada -5.5 peratus berbanding 2019,” katanya.

Dalam pada itu MIER berkata, meskipun pertumbuhan ekonomi 2020 adalah menguncup namun kadar pengangguran negara masih boleh diurus.

Jelasnya, kadar pengangguran semasa krisis Covid-19 banyak dipengaruhi oleh penglibatan aktif kerajaan melalui Prihatin dan Penjana.

“Pengiraan kami menunjukkan kadar pengangguran pada 2020 diunjurkan sekitar 3.7 peratus hingga 4.5 peratus,” katanya.- MalaysiaGazette