Home Politik Parti politik kerajaan dan kerajaan juga harus henti main politik – Tun...

Parti politik kerajaan dan kerajaan juga harus henti main politik – Tun M

Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang yang belum didaftar penubuhannya sanggup bekerjasama dengan semua pihak dalam usaha untuk menangani ancaman wabak Covid-19, kata Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, Pejuang yang mengalu-alukan titah Yang di-Pertuan Agong bahawa tiada keperluan darurat diisytiharkan juga menyambut baik nasihat baginda supaya orang politik mengurangkan politiking.

Katanya, rakyat juga tentu gembira dengan keputusan yang dibuat Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.

Dr Mahathir berkata, sudah tentu nasihat Seri Paduka Baginda supaya dikurangkan politik itu tidak terhad keapada ahli politik pembangkang sahaja, tetapi termasuklah ahli politik kerajaan.

Sehubungan dengan itu, katanya, adalah diharapkan sementara ahli politik pembangkang menghormati nasihat baginda, ahli politik kerajaan dan kerajaan juga menghentikan tindakan politik.

Tindakan tersebut, menurut Dr Mahathir, termasuklah melucutkan jawatan orang politik yang tidak menyokong kerajaan dan memberhentikan peruntukan wakil rakyat yang tidak menyokong kerajaan.

Bekas Perdana Menteri itu turut meminta supaya ahli politik kerajaan dan kerajaan berhenti membeli penyokong parti lawan untuk menjatuhkan kerajaan parti lawan, memaksa pilihan raya diadakan kerana percubaan merebut kerajaan dan menolak pendaftaran parti politik seperti Pejuang.

“Dan bermacam lagi tindakan politik seperti sogokan wang dalam pilihan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Mahathir berkata, Pejuang tetap akan patuh kepada nasihat Yang di-Pertuan Agong supaya politik di Malaysia menjadi stabil dan Pejuang sanggup bekerjasama dalam usaha semua pihak menangani ancaman wabak Covid-19.

6″Akhir kata, sebagai pemimpin Pejuang yang belum didaftar, saya ingin menyatakan kesyukuran kami dan junjung kasih kami kepada Ke bawah Duli Tuanku YDPA yang telah utamakan kepentingan rakyat dengan membuat keputusan yang bijak terhadap cadangan mengisytihar darurat di negara tercinta ini,” katanya.

 

 

 

1 Komen

Comments are closed.