MADRID – Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez mengumumkan darurat dalam usaha membendung lonjakan kes koronavirus.
Darurat itu berkuatkuasa pada waktu malam, selain melarang pengembaraan antara wilayah.
Langkah-langkah tersebut akan berkuat kuasa pada waktu mulai malam Ahad membabitkan semua wilayah kecuali Kepulauan Canary.
Pertemuan dengan orang ramai turut dihadkan kepada enam orang sahaja, malah kunjungan jiran juga tidak dibenarkan.
“Kita hidup dalam keadaan yang sukar … ini adalah situasi yang paling serius dalam setengah abad yang lalu,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet.
Sepanyol melaksanakan sekatan pergerakan paling ketat pada awal pandemik dan kemudian melonggarkan pada musim panas.
Tetapi seperti negara-negara Eropah yang lain, Sepanyol telah mengalami gelombang kedua pandemik dan kini merekodkan jumlah jangkitan tertinggi di Eropah Barat.
Jumlah kes meningkat kepada 1,046,132 pada hari Jumaat, sementara jumlah kematian hampir 35,000 orang.
Banyak wilayah telah meminta kerajaan melaksanakan darurat.
Catalonia adalah salah satu wilayah pertama yang melaksanakan darurat pada waktu malam, bermula pada pukul 10 malam pada hari Ahad.
Premis-premis yang dibuka untuk umum mesti ditutup pada jam 9 malam.
Keputusan itu akan berfungsi sebagai kerangka sistem amaran baharu, sama seperti yang dilaksanakan di Jerman dan Perancis. – MalaysiaGazette