KUALA LUMPUR- Sebanyak 310 kenderaan telah diarah berpatah balik semasa melalui sekatan jalan raya semalam kerana cuba keluar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan cuba merentas negeri yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran polis.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, tiga negeri yang mencatatkan kenderaan diarah berpatah balik tertinggi adalah Sabah (201), Johor (64) dan Kuala Lumpur (45).
Dalam pada itu, polis telah menahan 612 individu semalam kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Daripada jumlah itu, seramai 604 individu telah dikompaun manakala lapan individu lagi direman.
Antara kesalahan yang dilakukan adalah tidak memakai pelitup muka (156), penjarakan fizikal (145), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (134), aktiviti di pusat hiburan (96) dan lain-lain (81)
Tiga negeri paling tinggi jumlah individu dikompaun atas kesalahan ingkar arahan PKPP adalah Kuala Lumpur (229 individu), Selangor (162) dan Perak (94).
Di bawah Operasi Benteng pula, seramai 56 pendatang asing tanpa izin telah ditahan pihak berkuasa manakala tiga kenderaan darat berjaya dirampas.
Sejak Mei hingga 26 Oktober 2020, seramai 7,792 PATI, 772 tekong dan 327 penyeludup telah ditahan melalui Op Benteng yang diadakan di seluruh negara.
Sepanjang tempoh itu juga sebanyak 212 bot/kapal serta 815 kenderaan darat telah dirampas.- MalaysiaGazette