Home Ekonomi Agrobank lulus 9,101 permohonan penstrukturan semula pembiayaan

Agrobank lulus 9,101 permohonan penstrukturan semula pembiayaan

Khadijah Iskandar

KUALA LUMPUR – Agrobank telah meluluskan 9,101 permohonan  penstrukturan dan penjadualan semula (R&R) dan ini merangkumi permohonan daripada pelanggan komersial, pengguna dan mikro yang memohon sokongan kewangan tambahan untuk meredakan aliran tunai mereka kesan daripada penularan wabak Covid-19.

Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, Agrobank akan terus menawarkan bantuan pembayaran balik dan menerima permohonan sehingga Jun 2021.

Agrobank menyarankan pelanggannya untuk tampil menyusun semula atau menjadualkan semula kemudahan pembiayaan mereka sebagai penyelesaian jangka panjang selepas tamat
tempoh pelaksanaan moratorium.

Sehingga hari ini, bank telah meluluskan semua permohonan lanjutan moratorium seperti mana pengumuman berkaitan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar.

“Oleh kerana Agrobank menyediakan pembiayaan di sepanjang rantaian nilai pertanian, maka kami menyediakan bantuan kewangan kepada individu, mikro, PKS dan juga pelanggan korporat.

”Kami juga menyarankan agar pelanggan kami untuk berhubung dengan pegawai kami mengenai pilihan yang ada atau sekiranya mereka tidak pasti apa yang harus dilakukan selanjutnya,” kata
Khadijah.

Katanya, selaras dengan visi Agrobank untuk memperkasakan pertanian melangkaui perbankan, Agrobank secara proaktif telah berhubung dengan pelanggannya melalui pelbagai inisiatif seperti bimbingan perniagaan dalam talian, webminars, klinik perniagaan, forum dan lain-lain.

Inisiatif ini bertujuan untuk mendidik dan memberikan sokongan kepada pelanggan dengan lebih baik dalam menguruskan perniagaan mereka pada tempoh sukar seperti ini. – MalaysiaGazette