PUTRAJAYA – Sebanyak 62 kluster Covid-19 atau 30 peratus adalah berkaitan dengan tempat kerja, kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, jumlah itu adalah daripada 230 kluster yang telah dilaporkan sejak permulaan pandemik itu di negara ini.
Jelas beliau, sehingga hari ini, terdapat 37 kluster berkaitan tempat kerja yang masih aktif termasuk dua kluster baharu diumumkan pada hari ini.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat berterima kasih dan ingin menyampaikan penghargaan kepada majikan dan syarikat swasta dalam bersama-sama membantu mengekang penularan Covid-19 di kalangan warga kerja.
“Tindakan proaktif majikan yang turut sama menjalankan saringan terhadap pekerja-pekerja membolehkan pengesanan kes-kes positif yang tidak bergejala di kalangan warga kerja dan seterusnya membantu KKM dalam menjalankan aktiviti kesihatan awam dengan segera.
“Ini sekaligus dapat membendung penularan jangkitan Covid-19 dalam sesebuah komuniti dan seterusnya melindungi individu-individu daripada kumpulan berisiko tinggi, warga emas dan kanak-kanak,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di KKM di sini hari ini.
Noor Hisham menambah, selain tindakan proaktif majikan, warga pekerja juga mempunyai peranan yang besar dalam membantu KKM untuk membendung penularan Covid- 19 di tempat kerja dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
Katanya, di samping itu, warga kerja perlu sentiasa mengamalkan kawalan kendiri ketika berada di tempat kerja.
“Persekitaran tempat kerja yang bersih dan selamat juga hendaklah dijadikan kebiasaan harian bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette