Home Politik GPS harap semua pihak akur titah YDPA henti politiking

GPS harap semua pihak akur titah YDPA henti politiking

Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Gabungan Parti Sarawak (GPS) akur titah Yang Dipertuan Agong (YDPA) supaya semua ahli politik menghentikan segala politiking yang boleh mengganggu gugat kestabilan pemerintahan negara.

Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, titah Seri Paduka itu selari dengan prinsip dan pendirian GPS selama ini yang konsisten mahu semua pihak menghentikan politiking dan fokus kepada usaha menangani penularan Covid-19 serta pemulihan ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik berkenaan.

Dalam kenyataan hari ini, GPS menjunjung kasih titah YDPA, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka  mengisytiharkan darurat di negara ini.

Fadillah menambah, GPS juga menjunjung kasih akan kebijaksanaan dan kearifan baginda dan Raja-Raja Melayu yang telah bersidang dalam menangani kemelut politik negara.

Justeru, GPS berharap semua pihak akur akan titah dan nasihat baginda yang sentiasa mengutamakan rakyat dan negara, di samping memperakui kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan.

Beliau menambah, rakyat seharusnya menjadi keutamaan oleh semua ahli-ahi politik dalam apa jua keadaan terutama dalam berdepan cabaran penularan Covid-19 ketika ini.

”GPS menjunjung kasih titah tuanku akan betapa pentingnya Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen akan datang ini, dalam menangani wabak Covid-19,” tambahnya. – MalaysiaGazette