Home Politik Implikasi buruk kepada UMNO jika kerjasama dengan PN tak saksama – Najib

Implikasi buruk kepada UMNO jika kerjasama dengan PN tak saksama – Najib

Najib Razak

KUALA LUMPUR- Keputusan Majlis Tertinggi UMNO untuk meneruskan kerjasama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu berpaksikan kepada nilai penghormatan dan konsesus politik.

Tegas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, perlu ada keseimbangan yang jelas dalam kerjasama tersebut.

Ini kerana menurut beliau, sekiranya gesaan kerjasama yang lebih saksama itu tidak dihormati, ia akan membawa implikasi yang lebih buruk kepada UMNO walaupun parti itu diberi sebarang peranan dalam kerajaan PN.

Ini termasuklah kemarahan akar umbi yang semakin memuncak terutama selepas Pilihan Raya Negeri Sabah, terpalit sama dengan kelemahan kerajaan dalam memulihkan ekonomi dan tidak memberikan bantuan khusus kepada Sabah,  tidak melanjutkan moratorium pinjaman dan kegagalan rancangan menyelamatkan negara.

Malah UMNO juga menurut Najib akan dipersalahkan apabila aset negara dijual seperti yang berlaku kepada cadangan penggabungan UEM Sunrise dan Eco World serta penjualan FGV Holdings Bhd. walaupun bantahan oleh parti berkenaan telah berulang kali dibuat.

UMNO juga akan turut dipersalahkan katanya, jika keadaan Covid-19 semakin buruk walaupun kebanyakan kes berpunca daripada kecuaian menjaga pusat tahanan, lokap, penjara dan pengendalian pendatang asing tanpa izin di bawah kementerian yang bukan diterajui menteri daripada UMNO.

“Sebagai orang parti, saya bimbang bahawa kuasa sementara yang sedang dikongsi dan jawatan sementara yang sedang dinikmati UMNO/BN dalam kerajaan PN akan menyebabkan kekalahan lagi teruk dalam PRU-15 sedangkan trend sebelum kita bentuk kerajaan PN ialah Muafakat Nasional akan menang besar dalam PRU15.

“Malah kita sudah buktikan melalui kemenangan PRK berturut-turut BN sebelumnya. UMNO perlu sedar wujudnya risiko ini (seperti yang diulas beberapa penganalis dalam artikel pagi ini) dan ini yang saya nampak.

“Mungkin ramai yang tak berpendapat sebegini.

“Ikhlas dari seorang ahli parti yang paling lantang menentang gagalkrasi PH tiap-tiap hari secara habis-habisan sepanjang 22 bulan sehingga PH tumbang tanpa meminta sebarang jawatan dalam parti atau kerajaan pada ketika hampir semua pemimpin-pemimpin lain membisu dan play safe,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Tambah Najib, meneruskan kerjasama dengan PN dengan syarat UMNO diberi peranan lebih besar dalam menentukan hala tuju ekonomi merupakan salah satu daripada tiga cadangan yang dikemukakan beliau semasa mesyuarat bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional, semalam.- MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. berilah kuasa penting kepada umno supaya dia dapat urus harta negara untok jadi 1mdb ke dua. rakyat tak serik menteri tak loket. ada bahagian masing2.

Comments are closed.