Home Sukan Liga Singapura: Brunei DPMM tarik diri

Liga Singapura: Brunei DPMM tarik diri

Brunei DPMM FC.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengesahkan juara bertahan, Brunei DPMM FC tidak akan meneruskan baki saingan AIA Liga Premier Singapura (SPL) 2020 yang bermula sejak 17 Oktober lalu.

Keputusan itu dibuat kerana kelab dari Brunei tersebut dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara susulan penularan wabak pandemik Covid-19 di seluruh dunia sekaligus tidak dapat menghadapi perlawanan di Singapura.

“Pada masa ini juga tidak ada pengesahan rasmi mengenai tarikh mereka boleh ke luar negara kerana situasi semasa wabak Covid-19 di seluruh dunia cukup membimbangkan,” kata FAS dalam satu kenyataan semalam.

Bagaimanapun, baki perlawanan yang melibatkan pasukan lain tetap akan berlangsung seperti biasa untuk menentukan wakil Singapura ke kejohanan peringkat Asia seperti AFC Champions League (ACL) dan AFC Cup pada tahun 2021.

DPMM FC menyertai Liga Singapura sejak tahun 2009. Mereka telah menjuarai SPL sebanyak 2 kali (2015 & 2019) dan juga juara Piala Singapura sebanyak 3 kali (2009, 2012 & 2014).

Musim ini, mereka hanya sempat beraksi dalam satu perlawanan SPL menentang Tampines Rovers pada bulan Mac sebelum liga domestik itu ditunda kerana peningkatan kes wabak Covid-19.

“Sangat malang bahawa Brunei DPMM FC tidak dapat menyambung semula kempen SPL 2020 kerana saya pasti penyokong SPL dan kelab-kelab lain juga ingin menyaksikan juara bertahan mempertahanan gelaran mereka,” katanya kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette