Home Seni Hidup Mael Totey The Movie kutip RM2.56 juta

Mael Totey The Movie kutip RM2.56 juta

KUALA LUMPUR – Yotuber terkenal, Syahmi Sazli membuktikan pengalaman pertama kali mengarah filem dan berlakon dalam Mael Totey The Movie  bukan penghalang mencatat kutipan RM2.56 juta selepas empat hari ditayangkan di saluran Astro First.

Syahmi yang sebelum ini dikenali menerusi segmen drama spontan di YouTube berkata, kejayaan ini memberi semangat baharu buatnya untuk terus berkarya.

“Saya tidak menyangka filem arahan pertama saya akan mendapat sambutan luar biasa. Fenomena yang tercetus ini memberi semangat baru buat saya untuk terus menghasilkan karya yang lebih baik,” katanya.

Kejayaan itu menjadikan filem Mael Totey The Movie sebagai filem pertama dengan kutipan paling tinggi di Astro First sekali gus memecahkan rekod yang sebelum ini dipegang filem Syif Malam Raya.

Sementara Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad pula berkata, pihaknya sentiasa komited dalam membantu membuka ruang buat penerbit tempatan untuk menayangkan karya kepada penonton sasaran dalam tempoh sekarang ini.

“Sesuatu yang agak istimewa tentang Mael Totey The Movie, ia merupakan hasil filem pertama produksi dan arahan bakat kreatif, Syahmi Sazli dan kejayaan ini telah menambahkan lagi sinar baharu buat industri perfileman tempatan yang terjejas akibat Covid-19.

“Kejayaan ini juga secara tidak langsung telah melahirkan bakat baharu dan menjadi ‘game changer’ dalam industri di mana seorang YouTuber berusaha memajukan diri ke tahap yang lebih tinggi.

“Sokongan positif diberikan oleh para penonton mendorong pihak kami untuk membawakan lebih banyak filem yang dilihat berpotensi sebagai karya terbaik dan menepati cita rasa penonton,” katanya.

Mael Totey The Movie mengangkat genre drama komedi dan mengisahkan seorang pemuda lurus bendul, Mael yang berusaha pelajari Bahasa Inggeris demi memenuhi syarat gadis idamannya, Yaya.

Konflik antara Mael, cikgu dan Yaya diselesaikan oleh empat budak istimewa, Asif, Yoe, Yatin dan Bedul.

Filem itu membariskan Syahmi Sazli sebagai teraju utama, selain selebriti YouTube Yoe Parey, Asif Suhaimi, Emaleen Minhad dan Aween Ismail. Diikuti pelakon Hushairi Hussain, Daler Yusof, Aznah Hamid, Kamarool Yusoff dan penyampai radio Gegar, Ewan.

Filem Mael Totey The Movie boleh ditonton di pawagam rumah anda, Astro First dengan melanggan saluran 480, selain boleh distrim Astro Go atau On Demand. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.