Home Sukan Saya pun kena marah dengan jurulatih – Luqman Hakim

Saya pun kena marah dengan jurulatih – Luqman Hakim

Luqman Hakim.

KUALA LUMPUR – Luqman Hakim Shamsudin menafikan dia bukan ‘anak emas’ jurulatih walaupun dibawa masuk ke KV Kortrijk oleh pemilik kelab, Tan Sri Vincent Tan.

Penyerang berusia 18 tahun itu berkata, dia bekerja keras untuk mendapat tempat dalam pasukan sebelum dipilih oleh jurulatih, Yves Vanderhaeghe untuk beraksi dalam Liga Pro Belgium buat kali pertama, menentang RSC Anderlecht, pada Sabtu lalu.

Bekas pelatih Akademi Mokthar Dahari itu mengakui layanan sama diterima dalam pasukan tanpa menigira umur dan setipa pemain Kortrijk sentiasa bersemangat berebut dalam kebelasan utama.

“Saya rasa bertuah di kelilingi pemain-pemain berpengalaman dan soal usia tolak tepi. Anda umur 18 tahun atau 36 tahun jika melakukan kesalahan akan kena marah, saya pun kena marah dalam latihan.

“Sudah masuk minggu kelima saya bersama skuad utama dan banyak pengalaman baharu saya dapat di sini. Pemain-pemain senior juga tidak kedekut berkongsi ilmu.

“Paling buat saya terkejut semangat untuk menang yang dimiliki setiap pemain di sini. Bukan sahaja dalam aksi sebenar tetapi juga dibawa dalam latihan. Mereka bermain seolah-olah esok tiada lagi perlawanan lain,” katanya dalam satu rakaman video di sini semalam.

Luqman muncul pemain pertama Malaysia bermain dalam liga utama Eropah sekali gus memahat nama dalam sejarah bola sepak negara. – MalaysiaGazette