Home Ekonomi TNB pasang panel solar di MBS

TNB pasang panel solar di MBS

Datuk Bandar Seremban Datuk Zazali Salehudin (kiri) menandatangani Perjanjian Bekalan RE dengan Pengarah Urusan GSPARX, Elmi Fairul Mahsuri (kanan) sambil disaksikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (berdiri tengah). Foto: TNB

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi syarikat tenaga boleh diperbaharuinya, GSPARX Sdn Bhd (GSPARX) memeterai perjanjian dengan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) untuk pemasangan panel solar di bumbung pejabat MBS.

Di bawah Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE), MBS dijangka dapat menjimatkan RM3.2 juta bil elektrik sepanjang kontrak 21 tahun.

Projek pemasangan dengan kapasiti 720 kilowatt peak (kWp) itu dijangka siap April 2021.

Menerusi projek itu, sejumlah 919,800 kWh tenaga hijau yang dijangka dijana pada tahun pertama mampu mengimbangi pelepasan karbon hasil pembakaran 385 tan metrik arang batu setahun, atau penyerapan karbon dioksida oleh hutan seluas 849 ekar setahun.

Perjanjian ditandatangani oleh Datuk Bandar MBS, Datuk Zazali Salehudin dan Pengarah Urusan GSPARX, Elmi Fairul Mashuri di Seremban, semalam.

Majlis disaksikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Dengan perjanjian itu, MBS menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ketiga selepas Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang menggunakan kepakaran GSPARX dalam pemasangan dan operasi panel solar bumbung.

Melalui GSPARX, TNB telah menjalin kerjasama dengan entiti seperti majlis bandaraya dan syarikat untuk membolehkan lebih ramai pengguna elektrik menjadi pengeluar swaguna (prosumer).

Terbaharu, pada 24 September 2020, Malaysia Airlines Berhad (MAB) menandatangani perjanjian dengan GSPARX untuk pemasangan panel solar berkapasiti 2.210 MWp pada empat bangunannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sehingga kini, di bawah skim panel solar fotovoltaik (PV), Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) dan kegunaan kendiri (self-consumption; SELCO) yang dilaksanakan kerajaan, kira-kira 310 pelanggan memeterai perjanjian dengan GSPARX menerusi SARE dan pembelian terus untuk menjana kira-kira 54 MWp tenaga hijau.- Mala ysiaGazette