KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati semua ahli Parlimen supaya memberhentikan segera segala perbalahan politik dan sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan.
Seri Paduka Baginda juga menasihatkan ahli-ahli Dewan Rakyat memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 6 November ini.
Al-Sultan Abdullah menitahkan, sokongan itu adalah demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda menegaskan, Belanjawan 2021 amat penting kepada kerajaan dan pihak berkuasa, khususnya petugas barisan hadapan untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha membendung dan menangani ancaman wabak itu dari terus merebak.
“Adalah dimaklumkan, baginda Yang di-Pertuan Agong menasihati Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.
“Al-Sultan Abdullah menyeru Ahli-ahli Dewan Rakyat menghormati titah nasihat Seri Paduka Baginda untuk mereka memberhentikan segera segala perbalahan politik, sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan,” katanya dalam kenyataan Istana Negara kepada media, hari ini.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian selepas menerima mengadap Perdana Menteri untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara pagi ini.
Dalam sesi mengadap yang berlangsung lebih satu jam dari 8 pagi itu, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima taklimat ringkas berkenaan Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Parlimen pada 6 November ini.
Mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Al-Sultan Abdullah untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan.
Tegas Ahmad Fadil, Seri Paduka Baginda juga mengingatkan Ahli-ahli Dewan Rakyat bahawa sengketa politik untuk kepentingan peribadi masing-masing akan merugikan negara dan seluruh rakyat.
Katanya, rakyat akan menjadi mangsa pada ketika negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman wabak Covid-19 ini.
Menurut beliau, baginda menzahirkan harapan agar Belanjawan 2021 ini memberi penekanan kepada pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan serta kelangsungan hidup rakyat yang terkesan akibat penularan Covid-19.
“Baginda turut menzahirkan keyakinan penuh kemampuan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerajui kepimpinan negara pada saat negara sedang diuji dengan pelbagai krisis. – MalaysiaGazette