Home Utama Alvin Goh cerita punca lompat pagar SPRM untuk larikan diri

Alvin Goh cerita punca lompat pagar SPRM untuk larikan diri

Raja sindiket Macau Scam dalam negara yang dikaitkan dengan beberapa selebriti popular tempatan sangat dikehendaki polis iaitu Goh Leong Yeong yang melarikan diri memanjat pagar SPRM sejurus dibebaskan kini sedang diburu Bukit Aman sejak 16 Oktober lalu.

KUALA LUMPUR – Selepas berjaya diberkas polis ketika bersembunyi di sebuah pusat peranginan di Pahang, tular satu video pengakuan suspek utama kes pengubahan wang haram, Goh Leong Yeong atau Alvin Goh.

Dalam video berdurasi 8 minit 39 saat itu Alvin menafikan dirinya terlibat dengan kegiatan jenayah Macau Scam sebagaimana yang didakwa.

Beliau mengaku tidak pernah diberi gelaran Datuk Seri dan mempunyai syarikat telekomunikasi dan peralatan teknologi di sebuah pusat beli-belah Bukit Bintang.

“Namun, tidak pernah terlibat dengan sindiket Macau Scam atau perjudian dalam talian,” katanya dalam video berkenaan.

Video itu dipercayai dimuat naik rakannya sebelum ia tular di media sosial.

Dalam video itu, beliau berkata akan menyerahkan diri kepada pihak berkuasa untuk membantu siasatan, namun tidak berbuat demikian.

Alvin dalam pada itu mengaku beliau bertindak keluar daripada pintu belakang ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Namun, ketika dibebaskan pada 11 Oktober lepas, saya mendapat tahu polis juga akan menahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959.

“Saya tahu apabila dituduh di bawah akta itu, ia satu perkara yang serius.

“Selepas 10 hari direman di SPRM, saya letih dan tidak dapat berfikir dengan baik. Selepas saya dilepaskan, saya keluar melalui pintu belakang bangunan SPRM, dan beberapa hari selepas itu baru saya tahu melalui media yang saya diburu,” jelas Alvin lagi.

Artikel berkaitan: Raja Macau Scam panjat pagar SPRM berjaya ditangkap semula

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, suspek yang juga koordinator kepada aktiviti Macau Scam di negara China ditahan selepas pihaknya menjalankan risikan bagi mengesannya sejak 12 Oktober lalu.

Malah Huzir juga berkata Alvin sebelum ini sering berpindah dari satu ke satu lokasi lain bagi mengelakkan dirinya dikesan pihak polis.

Media sebelum ini melaporkan suspek utama kes sindiket pengubahan wang haram, didapati melarikan diri dengan bantuan dua pengawal peribadinya berdasarkan hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan SPRM, di Putrajaya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.