Home Ekonomi Lebihan dagangan September melonjak hampir 150%

Lebihan dagangan September melonjak hampir 150%

Foto hiasan

KUALA LUMPUR- Malaysia mencatatkan lonjakan lebihan dagangan sebanyak 149.3 peratus kepada RM21.97 bilion pada September 2020 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Malah menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) angka tersebut merupakan nilai lebihan dagangan tertinggi yang pernah direkodkan pada bulan September.

MITI dalam satu kenyataan berkata, jumlah dagangan bulan September berkembang 5.5 peratus kepada RM155.88 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan dagangan direkodkan terutamanya dengan China, Hong Kong, Amerika Syarikat, Belanda dan Taiwan.

Eksport melantun kepada pertumbuhan dua digit sebanyak 13.6 peratus kepada RM88.93 bilion, nilai eksport tertinggi yang pernah dicatatkan dalam bulan September.

Manakala import pula menyusut 3.6 peratus kepada RM66.96 bilion.

Tambahnya, berbanding Ogos 2020, eksport berkembang sebanyak 7.5 peratus manakala import berkembang sebanyak 1.6 peratus.

Perdagangan keseluruhan pula tumbuh sebanyak 12.4 peratus dengan lebihan dagangan mencatatkan perkembangan signifikan sebanyak 66.3 peratus.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2020, lebihan dagangan berkembang sebanyak 14.8 peratus kepada RM124.94 bilion berbanding tempoh sama 2019.

Nilai perdagangan keseluruhan adalah RM1.294 trilion, susut 5.2 peratus didorong oleh penurunan perdagangan dengan Thailand, Singapura, India dan Jepun.

Bagaimanapun, jumlah dagangan yang direkodkan dengan Amerika Syarikat, Korea Selatan, China dan Bahrain tersebut meningkat.

Jumlah eksport bagi sembilan bulan pertama 2020 adalah sebanyak RM709.56 bilion, susut 3.7 peratus manakala import merosot 6.9 bilion kepada RM584.62 bilion.- MalaysiaGazette