Home Ekonomi PKPB bersasar kaedah terbaik kurangkan impak pandemik, pulih ekonomi

PKPB bersasar kaedah terbaik kurangkan impak pandemik, pulih ekonomi

Arkib Penaung Actualised Ideas Sdn Bhd, Amir Chua Yu Jeen, 42, sedang tekun melakukan kerja dari rumah sambil ditemani isterinya Dr Nasrin Rabiei, 37, semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan pekerja sektor awam dan swasta tidak perlu ke pejabat sebaliknya hanya bekerja dari rumah mulai 22 Oktober ketika tinjuan lensa Malaysia Gazette di Plaza Damas, Mont Kiara, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 26 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia pada suku ketiga 2020 dijangka berkembang lebih baik daripada suku sebelumnya bersandarkan kepada prestasi ekonomi pada bulan Julan dan Ogos meskipun berlaku peningkatan kes Covid-19 pada akhir September lalu.

Namun begitu, menurut Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, sebarang perubahan dalam aktiviti ekonomi di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya yang kini sedang di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan memberi kesan terhadap prestasi ekonomi negara secara keseluruhan.

Ini kerana, ketiga-tiga negeri itu menyumbang 46.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lepas.

“Walaupun begitu, PKPB bersasar dilihat sebagai pendekatan terbaik bagi mengurangkan kesan pandemik dan mendapatkan semula momentum pemulihan ekonomi” katanya dalam sorotan statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 6/2020.

Laporan KDNK suku ketiga 2020 akan dikeluarkan pada 13 November ini oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Dalam kenyataan yang sama, Mohd Uzir berkata, pandemik Covid-19 telah mempengaruhi operasi perniagaan yang secara langsung memberi kesan kepada keseluruhan situasi tenaga buruh di Malaysia.

Katanya, kajian lanjut isu guna tenaga perlu dijalankan bagi memahami sepenuhnya situasi pasaran buruh negara.

Dengan itu, Jabatan Statistik katanya, sedang membuat pengukuran indikator guna tenaga tidak penuh untuk memberi gambaran tambahan mengenai pasaran buruh.

Salah satu indikator berkenaan adalah guna tenaga tidak penuh berkaitan masa.

Guna tenaga tidak penuh berkaitan masa merujuk kepada situasi mereka yang bekerja kurang dari 30 jam seminggu tetapi bersedia dan sanggup menerima kerja dengan jam yang lebih.

Tambah beliau, jumlah guna tenaga tidak penuh berkaitan masa meningkat dua kali ganda kepada 383,300 orang pada suku pertama 2020 berbanding tempoh sama tahun lepas.

Jumlah itu katanya, terus meningkat pada suku kedua tahun 2020 kepada 412.1 ribu orang.

“Peningkatan ini disebabkan oleh perniagaan telah mengurangkan waktu beroperasi dan pelaksanaan penggiliran hari bekerja untuk memastikan pematuhan terhadap prosedur operasi standard dalam tempoh fasa Perintah Kawalan Pergerakan.

“Bilangan jam bekerja yang kurang menyebabkan penerimaan upah yang lebih rendah bagi guna tenaga tidak penuh berkaitan masa, terutamanya yang bekerja dalam pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah.

“Di samping itu, indikator guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran dapat menangani isu ketidaksepadanan pekerjaan ini,” katanya lagi.- MalaysiaGazette