SERDANG – Seramai 44 anggota polis yang bertugas di negeri Selangor kini sedang menjalani kuarantin kendiri atas saranan Kementerian Kesihatan sebagai langkah pencegahan awal ketika bertugas dalam pandemik Covid-19.
Situasi itu bagaimanapun, menurut Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Noor Azam Jamaluddin tidak menjejaskan rancangan serta kesiapsiagaan polis khususnya dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan.
Katanya, setakat ini hanya seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang dan seorang isteri kepada anggota di Balai Keanggotaan Kajang dikesan positif Covid-19
“Kita masih dapat menguruskan penugasan dan penempatan anggota kita dalam penguatkuasaan PKPD dan PKPB seperti dikehendaki oleh KKM dan MKN walaupun anggota kami dikuarantin,” katanya dalam sidang media Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Serdang di IPD Serdang Bandar Kinrara pagi ini.
Dalam majlis itu jawatan yang pernah disandang ACP Ismadi Borhan diisi oleh ACP Razali Abu Samah.
Ditanya lebih lanjut mengenai anggota polis yang dijangkiti Covid-19, Noor Azam berkata, tidak wujud keadaan terdesak untuk pihaknya smenutup operasi mana-mana IPD atau balai polis.
Katanya senario seumpama pernah terjadi sebelum ini di Balai Polis Pandamaran Klang membabitkan seramai 33 anggota polis yang dikesan positif Covid-19.
“Untuk menangani masalah itu pihak menutup operasi di balai tersebut dan meminta mereka yang hendak erurusan pergi ke balai polis berhampiran.
“Tindakan itu terpaksa dilaksanakan rentetan ramai anggota polis di situ terpaksa dikuarantin,” katanya.
Ditanya mengenai dua kawasan di negeri ini yang dikuatkuasakan PKPD sejak tengah malam tadi termasuk Hentian Kajang, kata beliau, seramai 60 anggota polis digerakkan dalam operasi pematuhan SOP di kawasan tersebut yang mana semua urus niaga telah ditutup serta merta.
“Mereka akan ditugaskan mengikut syif iaitu 60 orang untuk setiap syif yang turut dibantu RELA dan Angkatan Tentera Malaysia untuk memastikan tiada perlanggaran SOP oleh masyarakat setempat bagi memudahkan proses saringan dan pengesanan kontak rapat oleh pasukan kesihatan Covid-19,” tegasnya. – MalaysiaGazette