Home Nasional Warga asing di Plaza Hentian Kajang melarikan diri sebelum PKPD dilaksanakan?

Warga asing di Plaza Hentian Kajang melarikan diri sebelum PKPD dilaksanakan?

Anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengawal ketat pergerakan keluar masuk kenderaan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Plaza Hentian Kajang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 28 OKTOBER 2020.

KAJANG – Bermula tengah malam tadi, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mula dilaksanakan di Plaza Hentian Kajang di Jalan Reko selepas kawasan itu merekodkan 63 kes positif Covid-19.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati kawasan yang menjadi tumpuan penduduk setempat kerana ia menempatkan beberapa agensi kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen Malaysia lenggang.

Bagaimanapun, terdapat orang ramai datang ke lokasi yang dikawal ketat oleh anggota pasukan keselamatan kerana tidak menyedari tentang pelaksanaan PKPD itu dan mereka diminta pulang.

Plaza Hentian Kajang turut menjadi tumpuan orang ramai kerana ia merupakan hentian bas ekspres khususnya ke Pantai Timur.

Kawasan sekitar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dipasang kawat besi berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Plaza Hentian Kajang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 28 OKTOBER 2020.

Seramai 7,500 orang di Hentian itu terpaksa di  kuarantin dalam kediaman masing-masing sehingga 10 November depan.

Menurut anggota bertugas, hanya anggota polis, tentera serta pegawai kesihatan sahaja dibenarkan keluar masuk.

Selang 20 minit kelihatan kenderaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menghantar pegawainya dan difahamkan ujian saringan rumah ke rumah akan bermula hari ini.

Sebuah ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia dilihat berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Plaza Hentian Kajang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 28 OKTOBER 2020.

Namun demikian menurut penduduk setempat yang enggan dikenali, sejak tersebarnya berita pelaksanaan PKPD di Plaza Hentian Kajang, ramai warga asing tanpa dokumen perjalanan yang sah mula meninggalkan kawasan tersebut.

Malah dalam beberapa ciapan Twitter mendakwa majikan yang menggaji pekerja asing telah ‘mengangkut keluar’ pekerja mereka sejak semalam dengan menggunakan bas kilang.

Bagaimanapun, dakwaan tersebut tidak dapat disahkan oleh pihak berkuasa ketika ini.

Tinjauan MalaysiaGazette juga mendapati lokasi yang dipercayai dihuni warga asing, rakyat tempatan dan penuntut universiti juga sepi.

Tiada kelibat mereka bersantai di balkoni.

Temubual bersama penduduk, Muhammad Muhibbudin di Plaza Hentian Kajang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 28 OKTOBER 2020.

Menurut seorang penduduk, Muhammad Muhibudin, beliau terkejut dengan perlaksanaan PKPD itu.

“Apabila bangun (pagi ini) seluruh tempat sudah dikenakan PKPD. Saya sendiri tidak dapat keluar kerja, terpaksa beritahu majikan saya tidak dibenar keluar rumah.

“Nasib baik ada kedai seperti KK Mart dibuka untuk kami beli barangan keperluan asas, sempatlah saya beli makanan sedikit. Memang terkejut,” katanya.

Tambah beliau, dakwaan bahawa ramai warga asing telah bertindak melarikan diri ke lokasi lain mungkin ada benarnya.

“Memang ada yang bertindak lari, nampak semalam. Tapi saya tak berani cakap kerana tak pasti juga,” ujarnya.

Temubual bersama penduduk, Sabri Abdul Waris di Plaza Hentian Kajang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 28 OKTOBER 2020.

Dalam pada itu, seorang peniaga, Sabri Abdul Waris berkata, perniagaan air serta makanannya terjeas akibat pelaksanaan perintah tersebut.

“Sebelum PKPD ada juga pelanggan, ini semua terpaksa duduk dalam. Memang rugi dan tiada bisnes.

“Tapi PKPD ini baik, langkah penularan Covid-19 dari terus merebak,” ujarnya. -MalaysiaGazette

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengawal ketat pergerakan keluar masuk kenderaan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Plaza Hentian Kajang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 28 OKTOBER 2020.

1 Komen

  1. Lain kali nak buat pkpd tu jgn bg tahu, ini lh klu bg tahu awal, warga asing pati lari..yg ada covid pun lari..lpas hbis pkpd, dia dtg bawa pyakit covid, lpas tu ina smula org situ…mmg pati ni kurang ajar, tempat je biar mmpus..dakwa majikan yg mgaji pati ni dgn hukuman yg berat..biar tahu ..ini mmg puak2 komunis je yg byk gaji pati ni..

Comments are closed.