KUALA LUMPUR – Gara-gara tidak mempunyai kad Touch n Go untuk melepasi tol Sri Muda Shah Alam, seorang warga emas tersesat sehingga memasuki laluan melawan arus di hadapan Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15 Shah Alam Lebuh Raya Klang Shah Alam.
Kejadian tersebut tular menerusi satu video berdurasi 1 minit 14 saat hasil rakaman orang awam yang melihatĀ kenderaan Perodua Kelisa dipandu di laluan melawan arus sejauh dua kilometer selepas disyaki melanggar kenderaan lain sebelum itu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pemandu Kelisa dikenalpasti sebagai lelaki warga emas berusia 73 tahun itu telah ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemaangan.
Katanya, insiden kemalangan berlaku sekitar jam 5 petang membabitkan kenderaan suspen dan dua lagi kenderaan lain iaitu Honda City dan Perodua Myvi di kilometer 3.1 dan 6.6 Lebuhraya Klang Shah Alam menghala ke Pusat Bandar Shah Alam.
Beliau berkata, pemandu Honda City berusia 33 tahun dalam perjalanan pulang ke Kota Kemuning dari tempat kerja di Klang manakala pemandu Myvi pula menuju ke Sri Muda.
“Kenderaan Honda City telah terbabas dan terbalik di sebelah kiri jalan di KM 3.1 Lebuhraya LKSA sebelum lenderaan Perodua Kelisa yang melawan arus itu kemudian telah berlanggar dengan Perodua Myvi di KM6.6 Lebuhraya LKSA yang datang dari arah pusat bandar.
“Pemandu kenderaan Honda City yang cedera dibawa oleh rakannya ke hospitalĀ manakala pemandu Perodua Kelisa dan Myvi berusia 25 tahun tidak mengalami kecederaan dan kedua-dua mangsa telah membuat laporan polis selepas kejadian itu.
“Pemandu Kelisa sudah ditahan untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, soal siasat ke atas suspek warga emas itu mendapati dia memandu dari rumah di Seksyen 8 hendak ke pusat beli belah Tesco yang terletak di Seksyen 13 namun telah tersalah jalan dan memasuki Lebuhraya LKSA.
“Apabila sampai di Plaza Tol Sri Muda pemandu Kelisa tersebut tiada kad “Touch n Go” lalu berpatah balik melawan arus untuk balik ke rumah.
“Menurut anak kepada pemandu Kelisa itu, bapanya dibawa balik ke rumah oleh orang awam dan dia membawa ayahnya ke IPD Shah Alam untuk membuat laporan polis,” katanya lagi. – MalaysiaGazette