Home Utama Peniaga buntu, Pantai Morib sepi tanpa pengunjung

Peniaga buntu, Pantai Morib sepi tanpa pengunjung

Walaupun kerajaan terpaksa melaksanakan PKP namun kesannya kepada kehidupan rakyat cukup terasa. Rakyat kelihatan bergelut untuk meneruskan kelangsungan kehidupan seharian.- Gambar hiasan.

KUALA LANGAT – Jika dahulu Pantai Morib merupakan salah satu destinasi tumpuan pengunjung namun kini lokasi tersebut bertukar sepi tanpa kunjungan ramai berikutan penularan wabak Covid-19.

Gelombang ketiga yang melanda negara ketika ini diikuti penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor mengakibatkan peniaga terutamanya pengusaha makanan mengalami tekanan besar akibat ketiadaan pelanggan.

Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar Pantai Morib mendapati daripada 11 premis yang terdapat di kawasan pelancongan tersebut hanya tiga kedai makan dibuka kepada pengunjung.

Kawasan sekitar pantai pula tidak lagi meriah seperti kebiasaan dan hanya sebilangan orang awam dilihat beriadah dan bersiar-siar.

Pemilik kedai makan, Azizah Saringat, 56, menyifatkan pandemik Covid-19 yang menyelubungi negara tahun ini merupakan cabaran terbesar dihadapinya sepanjang 30 tahun bergelar peniaga.

Temubual bersama peniaga, Azizah Saringat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pantai Morib, Kuala Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 28 OKTOBER 2020.

“Saya fikir ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dapatlah kami sebagai peniaga kumpul semula modal perniagaan untuk bayar apa yang patut seperti sewa kedai tertunggak dan gaji pekerja tapi PKPB pula diumumkan.

“Kalau ikutkan hati memang sedih tak terkata, sejak kebelakangan ini sehari hanya boleh dapat RM20 itu pun diberi kepada pekerja jadi saya terpaksa pulang dengan tangan kosong.

Sebuah kedai dilihat tutup akibat kekurangan pelanggan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pantai Morib, Kuala Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 28 OKTOBER 2020.

“Saya sendiri tak pasti sampai bila mampu bertahan dengan situasi sekarang yang benar-benar menghimpit. Sebelum ini saya gajikan 10 orang pekerja di kedua-dua buah kedai namun sekarang nak bayar seorang pun tak mampu,” ujarnya.

Sementara itu, peniaga, Sareah Marzuki, 46, ketika ditemu bual tidak dapat menahan sebak ekoran perniagaan yang diusahakannya merudum sepanjang tempoh PKPB.

Bagaimanapun, Sareah tetap membuka perniagaan seperti biasa kerana mengenangkan nasib para pekerja yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Temubual bersama peniaga, Sareah Marzuki berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pantai Morib, Kuala Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 28 OKTOBER 2020.

“Memang terjejas teruk tapi kita kasihan pada pekerja jadi teruskan lah. Hari Sabtu dan Ahad biasanya ada 10 orang pekerja tapi saya ambil empat sahaja kerana mahu bantu ibu tunggal yang memang tiada kerja lain.

“Sebelum ini jika hujung minggu boleh habis sehingga 30 ekor ayam tapi sekarang dalam masa dua hari pun belum tentu habis dua ekor,” katanya.

Bagi pekerja kedai Sotong Bakar Morib, Adi Suhardi, 30, lokasi tersebut kini suram tanpa kemeriahan pengunjung setempat dan luar ketika cuti hujung minggu.

Kata Adi, sejak akhir-akhir ini bilangan pelanggan yang datang untuk membeli sotong bakar terkenal itu juga amat mengecewakan.

Temubual bersama peniaga, Adi Suhardi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pantai Morib, Kuala Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 28 OKTOBER 2020.

“Boleh kira guna jari berapa (pelanggan) yang datang. Semua orang takut untuk keluar rumah kerana wabak ini. Saya pun hanya ikut arahan majikan jika dia minta untuk beroperasi saya ikut sahaja dan begitulah sebaliknya.

“Keadaan sekarang memang merisaukan ditambah pula susah hendak cari pekerjaan ketika musim Covid-19,” ujarnya. – MalaysiaGazette