Home Nasional Nasib kabin kru cukup sukar, NUFAM cadang longgar pengeluaran KWSP

Nasib kabin kru cukup sukar, NUFAM cadang longgar pengeluaran KWSP

Ismail Nasaruddin

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) meminta kerajaan melonggarkan polisi pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk kakitangan kru kabin yang terjejas teruk dengan isu pandemik Covid-19.

Langkah ini bagi membendung masalah kewangan dan mengurangkan tekanan hidup mereka, sekali gus membantu beribuan pekerja ini daripada kehidupan yang semakin getir.

Presidennya, Ismail Nasaruddin berkata, lebih 2,000 pekerja sebuah syarikat penerbangan bakal dihentikan pekerjaan dan berita ini sudah tentu memberi lebih tekanan kepada mereka.

Angka ini tidak termasuk lebih 50,000 pekerja yang terjejas sejak PKP bermula pada bulan Mac lalu.

Ramai golongan ini telah dihentikan kontrak, gaji dan elaun dipotong serta ramai dicutikan tanpa menerima sebarang bayaran gaji sehingga tahun depan.

”Siapa yang boleh membantu mereka jika kehilangan mata pencarian sedangkan kerja lain pun susah nak dapat, jadi ramai pekerja-pekerja ini berdepan dengan masalah,” katanya sambil memaklumkan lebih daripada 90% pekerja dalam industri penerbangan negara ini telah terjejas dengan pandemik Covid-19.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) juga menjangka kemorosotan industri penerbangan ini akan lebih teruk pada tahun depan.

”Jadi, bagaimanakah pekerja dalam industri ini mahu menyara kehidupan mereka jika keadaan ekonomi dunia masih tidak menentu.

”Ini adalah keadaan yang sungguh luar biasa dan telah memberi banyak tekanan kepada golongan pekerja dalam industri penerbangan dan sektor pelancongan,” ujarnya.

Ismail berkata, NUFAM pasti dengan adanya kelonggaran pengeluaran wang simpanan KWSP, ia boleh mengurangkan lebih banyak beban terutama sekali mereka yang telah dihentikan pekerjaan sejak Covid-19 bermula.

Ramai pekerja yang dihentikan ini masih tidak dapat pekerjaan tetap terutama sekali golongan yang telah berusia 40 tahun ke atas.

Menurutnya, walaupun kerajaan memberi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan skim subsidi upah tapi bantuan ini hanya bersifat sementara sahaja.

Lebih menyedihkan apabila ada dalam kalangan mereka tidak menerima bantuan langsung.

”NUFAM percaya masanya sudah tiba untuk kerajaan memberi perhatian serius dengan masalah ini.

”Malah, NUFAM juga menerima banyak rayuan daripada pekerja agar kerajaan dapat melongarkan pengeluaran simpanan KWSP apabila tempoh moratorium bersasar tamat pada akhir bulan Disember ini.

“Oleh itu, NUFAM menaruh harapan Ahli-Ahli Parlimen dapat membentangkan isu ini pada persidangan pada awal bulan November bersama Belanjawan 2021,” katanya. – MalaysiaGazette .