KUALA LUMPUR – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat empat jam malam ini memutuskan semua anggota Kabinet yang mewakili parti itu akan terus kekal dalam kerajaan dan beriltizam untuk terus menjaga kebajikan rakyat serta mempertahankan maruah parti.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan tersebut dibuat berdasarkan fungsi UMNO sebagai sebuah parti yang dasar-dasarnya sentiasa memberikan keutamaan kepada agenda rakyat.
Mesyuarat juga, katanya, memutuskan agar mandat rakyat dikembalikan bagi mewujudkan kerajaan yang stabil dengan mengadakan pilihan raya umum setelah pandemik Covid-19 dapat dikawal dan berada di peringkat minimum.
“UMNO terus kekal fokus dan konsisten dengan kenyataan yang sudah berkali-kali dikeluarkan tentang peri pentingnya Gencatan Politik dan Rekonsiliasi Nasional demi mendepani wabak Covid-19, menjaga kebajikan rakyat, keamanan negara dan kestabilan politik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, UMNO menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu untuk terus memastikan pentadbiran negara diurus dengan baik berpandukan keluhuran undang-undang.
UMNO juga, katanya, menghormati semangat yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara dan tidak membawa negara ke dalam darurat sebagaimana yang telah dicadangkan oleh pihak kerajaan.
Selain itu, mesyuarat malam ini juga memperhalusi pelbagai pandangan dan harapan rakyat mengenai Belanjawan 2021 untuk diangkat kepada kerajaan termasuklah isu perlanjutan tempoh moratorium dan bantuan sara hidup kepada rakyat yang hilang punca pendapatan akibat Covid-19.
Turut dibincangkan bantuan kepada belia yang menganggur, bayaran khas kepada barisan hadapandan beberapa inisiatif untuk meningkatkan perkembangan ekonomi negara.
“Lantaran itu, UMNO akan memastikan Belanjawan 2021 yang bermanfaat untuk rakyat dapat diluluskan,” katanya.
Ahmad Zahid juga menegaskan bahawa UMNO tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang mempersoalkan pendirian UMNO dalam mendukung titah Seri Paduka Baginda demi menjaga kedaulatan Raja-Raja dan kepentingan rakyat.
“Maka sebarang tindakan mana-mana pihak yang mempersoalkan keputusan UMNO dalam mendokong titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu adalah tidak bertanggungjawab dan amat dikesali,” katanya. – MalaysiaGazette
Klu ada politikus nak mengelak kan PRU, senang je diorg nk sabotaj. Xkirala dr DAP ke.. PH ke.. BN ke, GBS, GRS atau PN..
Harap sangat Pas dan Bersatu letak calon di semua parlimen masa PRU 15 nanti. Ada la juga pilihan untuk rakyat selain UMNO ni.
Nampak sangat sarap nya cadangan awak ni ..tp sy tk nak persoalkan sangat , mungkin awak ni dari kalangan armada ..kurang matang.