KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak tidak bersetuju dengan alasan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang menolak cadangan pengeluaran wang daripada Akaun 1 bagi membantu rakyat dalam berdepan dengan impak pandemik Covid-19.
KWSP memberi alasan bahawa ia kekurangan dana besar jika pengeluaran akaun 1 dibenarkan dan pengeluaran dari Akaun 1 akan terhakis masa depan pencarum.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, jumlah pencarum yang ingin memohon untuk skim akaun 1 ini dijangka sekitar jumlah pencarum yang diluluskan untuk skim i-Lestari iaitu 4.57 juta pencarum.
Maka, jumlah dana maksimum yang diperlukan jika setiap 4.57 juta pencarum dibenarkan untuk mengeluarkan RM10,000 adalah RM45.7 bilion.
Itupun, jika semua mahu atau layak untuk mengeluarkan sebanyak RM10,000 kerana yang mungkin mahu jumlah lebih kecil untuk keperluan terdesak.
Menurutnya, jumlah RM45.7 bilion ini cuma 4.9% daripada jumlah aset RM929.64 billion KWSP pada 30 Jun 2020.
Berhubung alasan pengeluaran dari Akaun 1 akan terhakis masa depan pencarum, Najib berkata, KWSP perlu faham bahawa apa yang dikeluarkan pada masa ini tidak bermaksud negara ini tidak berpeluang untuk pulihkan pada masa depan.
Ini kerana, pengeluaran yang dibuat itu boleh ditampung semula dengan menaikkan semula kadar caruman statutori bulanan majikan dan pekerja pada masa depan apabila ekonomi memulih selepas krisis Covid-19 berlalu.
Kadar caruman ini sering diturunkan pada masa ekonomi perlukan suntikan. Ini juga dilaksanakan pada bulan Februari tahun ini apabila kadar caruman statutori pekerja diturunkan dari 11% ke 7%.
”Mereka yang mengeluarkan wang dari akaun 1 dan akaun 2 (melalui skim i-Lestari) boleh dinaikkan kadar caruman ini selepas ekonomi bertambah baik agar mereka boleh memulihkan simpanan usia tua mereka dalam KWSP.
Cara kedua ialah kerajaan ada tanggungjawab untuk membuka peluang untuk KWSP menjana lebih keuntungan untuk ahli-ahli melalui projek-projek lebih lumayan seperti apa yang dilaksanakan Kerajaan Barisan Nasional memerintah.
Najib memberi contoh pelaksanaan Projek Kwasa Damansara kepada KWSP pada harga RM2.28 bilion pada tahun 2012, selain projek Battersea United Kingdom dengan memiliki pegangan 20% dalam projek bernilai RM48 bilion – yang merupakan antara projek paling lumayan di negara England.
Malah, katanya, KWSP juga diberi peluang untuk memilik 49% kepentingan dalam syarikat Lebuhraya PLUS manakala 51% dimilik Khazanah Nasional.
Artikel berkaitan: Pengeluaran Akaun 1 KWSP akan hakis perlindungan masa depan ahli – Alizakri
Bukan itu sahaja, kerajaan BN juga membayar pampasan tahunan kepada PLUS tiap-tiap tahun supaya kadar tol lebuhraya-lebuhraya milik PLUS tidak dinaikkan sepanjang tempoh beliau menjadi Perdana Menteri.
Najib berkata, banyak lagi contoh-contoh projek yang diberi kepada KWSP atau syarikat milik KWSP seperti projek pembangunan semula Stadium Bukit Jalil, Lebuhraya EDL Johor, LRT3 dan sebagainya dalam tempoh itu.
Hakikatnya, kata Najib, dividen KWSP semasa beliau menjadi Perdana Menteri antara tertinggi sejak 20 tahun lalu.
”Sebab itu, saya tak bimbang pencarum-pencarum keluarkan duit sekarang pada masa paling terdesak sebab saya tahu kerajaan boleh bantu memulihkan simpanan KWSP jika berniat untuk jaga kroni saya iaitu rakyat,” ujarnya.
Namun, katanya, sekarang terpulanglah kepada Kerajaan Perikatan Nasional jika mahu membenarkan pengeluaran dari Akaun 1 untuk pencarum paling terdesak.
Nak seribu daya, tak nak seribu dalih, ujar beliau. – MalaysiaGazette
Entah ada ke idok duit dlm tu… Mcm payah jer nk bagi kluarkan