KELANA JAYA – Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin melakukan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr. Mahmoud Hussien Saeed Qattan di kediaman rasminya hari ini bagi membincangkan pembangunan bola sepak kedua-dua negara.
Selain mencari jalan mengukuhkan hubungan dua hala pembangunan bola sepak, turut dibincangkan ialah bidaan Arab Saudi untuk menjadi hos pusingan akhir Piala Asia AFC 2027 dan Sukan Asia ke-21 pada 2030.
Hamidin berkata, Arab Saudi secara rasmi melancarkan bidaan sebagai tuan rumah Piala Asia AFC 2027, dengan memperkenalkan logo bidaan dan slogan ‘Forward for Asia’ pada September lalu dan ia adalah antara kunci utama dalam menyempurnakan gagasan Wawasan 2030 Arab Saudi.
“Rangka kerja strategik yang dilancarkan oleh Putera Mohammad bin Salman untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber minyak, sambil mempelbagaikan ekonominya selain mengutamakan sektor infrastruktur, rekreasi dan pelancongan.
“Dalam pertemuan ini kami membincangkan kerjasama di antara dua negara dengan menjadikan bola sepak sebagai pemangkin.
“Kami bertukar pandangan dalam usaha membangunkan bola sepak bukan sahaja untuk negara masing-masing tetapi buat seluruh keluarga bola sepak Asia khususnya dan antara lain turut dibincangkan mengenai pembangunan bola sepak wanita dan futsal serta perkembangan bola sepak semasa,” kata Hamidin yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Negara yang kaya dengan sumber minyak itu tidak pernah menjadi tuan rumah kejohanan Piala Asia selepas kali terakhir mereka membida pada 2007.
Arab Saudi akan bersaing dengan empat lagi negara iaitu India, Iran, Qatar dan Uzbekistan untuk menjadi tuan rumah kejohanan paling berprestij di benua Asia.
Bagi Sukan Asia 2030 pula, bandaraya Riyadh bersaing dengan Doha, ibu negara Qatar, untuk mendapatkan hak penganjuran.
Tambah Hamidin, selaku antara gergasi Asia dari Timur Tengah, Arab Saudi menjuarai Piala Asia sebanyak tiga kali iaitu pada 1984, 1988 dan 1996, selain layak ke Piala Dunia sebanyak lima kali pada 1994, 1998, 2002, 2006 dan 2018. – MalaysiaGazette